KUALA LUMPUR,  “Penjual telefon bimbit terbabit turut ditahan dan direman.”

Itu kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa bagi menjawab persoalan berhubung dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa polis berkomplot dengan tidak menangkap peniaga yang menipu, sebaliknya menahan aktivis yang membela mangsa-mangsa penipuan telefon bimbit susulan insiden kekecohan di Kompleks Kota Raya pada 20 Disember lalu.

Jelas Tajuddin, siasatan sedang dijalankan berdasarkan laporan yang diterima, termasuklah kes penipuan penjualan telefon bimbit dengan turut menahan penjual yang terbabit untuk membantu siasatan.

“Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan membabitkan penipuan penjualan telefon bimbit ini, hasil laporan mangsa-mangsa yang terlibat.

“Salah seorang suspek dalam dua kes tersebut telah ditangkap dan kini ditahan reman sehingga 30 Disember, manakala seorang lagi masih dikehendaki dan sedang dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, serbuan juga pernah dilakukan di kompleks berkenaan pada 27 Mac lalu dengan rampasan sebanyak 500 unit telefon bimbit disyaki palsu.

“Saya menegaskan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu dan menjejaskan siasatan.

“Pihak polis akan meneruskan siasatan dan menyiapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada pihak pendakwaan,” katanya.


Pada 26 Disember lalu, PPIM meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis memberi penjelasan mengapakah dua orang aktivisnya ditahan dan ditempatkan di lokap tahanan sedangkan mereka membantu pengguna yang ditipu oleh penjual yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata apa yang berlaku tersebut amat dikesali kerana PPIM bukanlah musuh kepada pihak polis sebaliknya membuat kerja membantu orang ramai yang ditipu sejak berpuluh-puluh tahun.