HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2015

'Lanjutan sementara bagi ahli majlis tempatan di Selangor'

Alyaa Azhar


 


Tempoh khidmat semasa ahli majlis tempatan Selangor dilanjutkan selama dua bulan lagi.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad mengesahkan perkara itu ketika ditanya mengenai status rancangan untuk memperuntukkan kerusi ahli majlis tempatan kepada pemimpin-pemimpin parti itu.

"Saya difahamkan bahawa mereka telah melanjutkan tempoh khidmat ahli majlis tempatan semasa selama dua bulan lagi.

"Oleh itu, akan ada lebih banyak perbincangan yang menyeluruh, itu situasinya," katanya kepada Malaysiakini.

Tempoh khidmat ahli majlis tempatan sekarang sepatutnya berakhir esok.

Ada kemungkinan bahawa tempoh itu dilanjutkan kerana lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan masalah agihan jawatan kerana PAS, PKR dan DAP perlu bersedia menyerahkan kerusi mereka kepada AMANAH.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin pula berkata keputusan untuk mengagihkan kerusi untuk AMANAH akan dibuat dalam masa satu atau dua minggu lagi.

Zuraida turut mengesahkan bahawa beliau bertanggungjawab dalam mengendalikan proses pelantikan ahli majlis PKR.

Beliau mengakui segala cadangan akan dibawa kepada Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali bagi keputusan.

"Ya, ini belum lagi (diselesaikan)," akuinya.

Tiada lanjutan diberikan.

Bagaimanapun, Exco Selangor Ean Yong Hian Wah dalam responnya kepada Malaysiakini menjelaskan tiada tempoh lanjutan akan diberikan kepada ahli majlis di Selangor.

"Saya ingin menjelaskan bahawa mesyuarat exco hari ini mengesahkan bahawa tiada lanjutan akan diberikan.

"Senarai ahli majlis akan disahkan Rabu depan dan tempoh baru akan bermula 15 Januari 2016 hingga 31 Disember 2017," katanya.

Ketika ditanya sama ada AMANAH akan termasuk dalam senarai ahli majlis, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.
Semalam Ean dilaporkan berkata kerajaan negeri Selangor masih belum memutuskan sama ada akan memperuntukkan AMANAH kerusi majlis tempatan.
Selangor mempunyai 288 ahli majlis - 120 kerusi diperuntukkan kepada PKR manakala DAP dan PAS masing-masing mendapat 98 dan 70 kerusi.

Pemuda AMANAH Selangor, bulan lalu menggesa supaya parti itu diberi beberapa kerusi ahli majlis tempatan pada tempoh akan datang.

AMANAH mempunyai dua kerusi DUN Di Selangor . Mereka adalah Saari Sungib yang mewakili Hulu Kelang dan Hasnul Baharuddin yang mewakili Morib.

AMANAH adalah parti serpihan PAS yang dilancarkan pada 16 September lalu dengan sebahagian besar ahli dan pemimpinnya terdiri daripada ahli-ahli PAS terutamanya yang tidak berpuas hati dengan pemilihan parti tahun ini yang menyaksikan pihak konservatif menang besar jawatan tertinggi parti.


Tiada ulasan: