JOHOR BARU,  Seorang pemuda warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor Baru, hari ini, selepas mengaku bersalah menyembunyikan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup ke negara ini.


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Tan Sri Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu, setelah Dedi Supriyadi, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, selepas lima saksi warga asing memberi keterangan mengikut Seksyen 396 Kanun Acara Jenayah.

Dedi dituduh mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang atau Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pada 1 Julai lalu, tertuduh didapati menyembunyikan 30 PATI di Jalan Sawi, Taman Sri Lalang, Kota Tinggi, pada jam 4.30 petang.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen, Noridayu Md Kassim dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Hazza Khalid.