HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2015

Menteri UMNO jadi badut di tengah-tengah keperitan rakyat

maslan02-M

Oleh Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan pelawak dan menteri bahkan timbalan menteri bakal bertukar pentas jika mereka terus-terusan membuat kenyataan seperti Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

“Pelawak seperti Harith tak dapat cari makan kerana Menteri dan Timbalan Menteri seperti Ahmad ingin ambil alih tugas jadi pelawak,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Menyifatkan kenyataan Ahmad itu tidak menghiraukan sensitiviti rakyat, beliau berkata pemimpin UMNO-BN tidak harus menjadi badut di tengah-tengah keperitan rakyat, sebaliknya mencari jalan penyelesaian.

“Kerajaan seharusnya merangka plan ekonomi bagi membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat dan bukannya menjadi ‘pak lawak’,” katanya yang menyifatkan kenyataan jenaka pemimpin UMNO BN menunjukkan maruah kerajaan UMNO-BN semakin tercalar.

Semalam, Ahmad Maslan membuat kenyataan berkaitan ‘dua kerja’ yang mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk pelawak terkenal negara, Harith Iskandar yang menjadikan kenyataan itu sebagai bahan sindirannya.

Ironinya, kebanyakan pengguna laman sosial menyokong dan mengambil serius kenyataan Harith itu tetapi sebaliknya menganggap kenyataan Ahmad sebagai sebuah jenaka.

Kit Siang berkata, rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barangan keperluan asas berikutan kenaikan harga barangan akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Ibu bapa yang menyediakan anak-anak untuk ke sekolah mendapati harga peralatan persekolahan naik 30 peratus sedangkan mereka terhimpit dengan gaji rendah dan pelbagai krisis ekonomi,” katanya.

Justeru, beliau menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil peluang dalam sidang Parlimen Khas Januari depan untuk meminda bajet bagi menyesuaikannya dengan realiti ekonomi semasa.

Harith dalam satu kemas kininya di laman Facebook yang dipercayai merujuk kenyataan Ahmad berkata beliau melakukan enam kerja dalam satu masa, jika mengambil konteks pekerja awam kerajaan di negara ini. -Roketkini.com


Tiada ulasan: