Tidak timbul soal dua atau tiga kerja yang perlu dilakukan rakyat di negara ini bagi meringankan bebanan hidup mereka, sebaliknya adakah peluang pekerjaan untuk mereka, kata pemimpin veteran Umno, Tengku Razaliegh Hamzah.
Bekas Menteri Kewangan itu merujuk saranan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan yang mencadangkan agar rakyat melakukan lebih dari satu pekerjaan untuk meringankan kos sara hidup.
"Masalahnya sekarang tiada peluang pekerjaan. Kita kata ada satu kerja tak cukup pendapatan maka kena cari pekerjaan lain pula untuk tambah pendapatan.
"Macam saya satu kerja pun tak ada sekarang," kata Tengku Razaliegh pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir, di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Maslan, Sabtu lalu dilaporkan membuat cadangan itu tetapi hari ini menjelaskan
bahawa pandangannya berkaitan dua kerja dibuat dalam konteks perniagaan atas talian.
Justeru, katanya, pihak yang tidak berminat tidak perlu melepaskan kemarahan padanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan