Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghentikan amalan membuat potongan gaji maksimum bagi penjawat awam.
Rafizi
berkata beliau menerima banyak aduan daripada peminjam mengenai sistem
potongan itu dan mereka tidak diberi sebarang amaran mengenai jumlah
gaji yang dipotong.
"Ini menyebabkan ada kakitangan kerajaan yang gajinya berbaki puluh-puluh ringgit setelah dibuat potongan maksimum oleh PTPTN.
"Sudah tentu tidak ada sesiapa di negara ini yang boleh menampung sara
hidup dengan baki gaji puluhan ringgit apatah lagi dalam keadaan kos
sara hidup yang tinggi," katanya pada kenyataan media.
Mengambil contoh amalan di Australia, Rafizi mencadangkan
agar peminjam membayar balik pinjaman sekiranya gaji lebih tinggi dari
paras tertentu bagi mengelakkan mereka dibebankan dengan hutang
pendidikan.
"Saya mencadangkan supaya PTPTN merubah kembali peraturan agar bayaran
pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperolehi gaji sebelum
cukai sebanyak RM4,000 sebulan.
"Peminjam perlu mengemaskini butiran pekerjaan dan gaji
yang disahkan oleh majikan setiap 6 bulan bagi memastikan mereka mula
membayar secara potongan automatik mengikut jadual yang dipersetujui
setelah gaji mereka mencecah RM4,000 sebulan," katanya.
Katanya, sekiranya peminjam tidak mengemaskini butiran berkenaan, baru lah mereka wajar dikenakan tindakan undang-undang.
Sehubungan itu, Rafizi berkata beliau akan memfailkan satu usul di
parlimen pada Mac depan dan akan bersama aktivis muda menubuhkan sebuah
NGO untuk memperjuangkan nasib peminjam PTPTN dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan