HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Disember 2015

Vape: IKHLAS fail injuksi mahu kata putus mahkamah

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) hari ini memfailkan injuksi bagi mendapatkan kepastian berhubung status penjualan rokok elektronik atau vape.
 
Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah memfailkan injuksi tersebut di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini pagi tadi.
 
"Ikhlas sejak lapan tahun berjuang untuk peniaga kecil. Hari ini kita bukan nak melawan kerajaan tapi penjawat awam yang terburu-buru ambil tindakan," katanya dalam sidang medianya sebentar tadi. 
 
Selain memfailkan injuksi, pertubuhan bukan kerajaan itu juga memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor yang terlibat merampas barangan peniaga vape.
 
"Kita akan saman IGP, KKM, KPDNKK, dan PBT Johor Baru, walaupun kita akur titah Sultan Johor, kita dah bosan dengan tingkah laku PBT Johor ini. Sultan mengeluarkan titah peniaga perlu berhenti berniaga mula 1 Januari tahun hadapan, tetapi mereka sudah rampas barang-barang peniaga.
 
"Mereka rampas barang peniaga, ertinya mereka tak akur titah sultan. Pertama kita akan fail saman tuntut ganti rugi dan injunksi terhadap kerajaan negeri Johor," kata Ridzuan. 
 
Tambahnya, tindakan 'rampasan' tersebut dilakukan secara terburu-buru apatah lagi kabinet tidak memutuskan pengharaman vape. 
 
"Sedangkan Kabinet putuskan vape tidak diharamkan. Kenapa mereka tidak ikut keputusan Kabinet, khususnya Johor dan beberapa negeri lain.
 
"IKHLAS tidak akan biarkan isu ini. Peniaga Melayu ini dituduh menjual dadah dan ganja sebagainya. Ini yang kita nak tuntut hari ini," katanya.
 
Beliau dalam pada itu meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom agar 'campur tangan' terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan vape baru-baru ini.
 
"Kita nak tahu apa sebenarnya berlaku. Tidak kaji betul-betul kemudian keluar fatwa," ujarnya.
 
Majlis Fatwa Kebangsaan beberapa hari lalu memutuskan penggunaan vape adalah haram setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.
 
Susulan pengharaman vape oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu, Negeri Sembilan mengambil langkah yang sama untuk mengharamkan penggunaan vape di negeri berkenaan. 
 
Sementara itu Majlis Agama Islam Selangor, Sabah, Sarawak dan Pahang akan bersidang sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu, manakala kerajaan Terengganu, Perlis dan Perak menunggu keputusan kerajaan Persekutuan.
 
Terdahulu, Johor dan Kelantan mengambil langkah untuk mengharamkan vape di negeri masing-masing.

Tiada ulasan: