HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Disember 2015

2015: Kronologi isu vape di Malaysia

Vape
Gambar hiasan
 

ISU penggunaan rokok elektronik atau vape merupakan antara isu besar pada tahun ini yang menarik perhatian pelbagai pihak, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, masyarakat umum dan pengguna vape itu sendiri.

Walaupun sesetengah blog atas talian menyatakan vape sudah bertapak di Malaysia sejak 2009, kehadiran trend baru tersebut mula menjadi perhatian bermula pada Ogos selepas beberapa laporan mengenai penggunaan vape menjadi viral di laman sosial dan menarik perhatian media massa.

Berikut merupakan kronologi berita berkenaan isu vape sepanjang tahun 2015 di Malaysia.

12 Ogos: KKM saran henti sementara guna vape

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam memberitahu kementerian sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan vape kepada kesihatan.

"Pada pandangan kementerian, kami menganggap ia sebagai satu lagi bentuk rokok tetapi caranya berbeza. Pengguna akan mendapat semua kesan seperti menghisap rokok cuma mungkin kandungan tar lebih rendah tetapi kesan nikotin adalah sama," kata Subramaniam.

14 Ogos: Pendapat pakar kanser mengenai vape

Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) mengeluarkan pendapat bahawa tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik menjadi punca penggunanya menghidap kanser itu sendiri.

"Nikotin yang diwapkan itu sama dengan asid nitrik yang boleh

menyebabkan kanser," kata Ketua Pegawai Perubatan NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin kepada Bernama

17 Ogos: Persatuan Perubatan Malaysia gesa pengharaman vape

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan menimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik kerana alat itu 'berkemungkinan besar' menyebabkan kemudaratan.

"Cecair mengandungi nikotin yang digunakan untuk 'vaping' tetap berpotensi menyebabkan terjadinya tabiat dan ketagihan," kata Presiden MMA, Dr Ashok Zachariah Philip kepada Bernama.

16 Ogos: Isma nyata pendirian

Pegawai Majlis Ulama Isma, Muhammad Firdaus Zalani risau apabila terdapat pihak menyebut kononnya antara kebaikan rokok elektronik ini adalah ianya menjadi ubat kepada perasaan ketagih terhadap perbuatan menghisap rokok.

Katanya Firdaus, kegagalan dalam memahami hal tersebut akan menyebabkan rosaknya kefahaman masyarakat akan seluruh perkara yang berkaitan maksiat, bukan sekadar berkaitan rokok.

"Dalam Islam, konsep berkaitan perlakuan sesuatu maksiat itu jelas lagi terang iaitu; Ia hendaklah ditinggalkan dan ditolak serta digantikan dengan amalan kebaikan!" jelas Firdaus lagi.

2 September: Video pengguna vape tidak sensitif viral

Sebuah video konfrantasi seorang pengguna laman sosial dengan seorang penghisap vape yang telah menghisap alat berkenaan di pusat membeli-belah tanpa menghiraukan pandangan masyarakat awam menjadi viral dan dikecam netizen.

21 September: Parlimen Belia cadang pengawalan keatas vape

Persidangan Parlimen Belia Malaysia (PBM) kali ketiga yang melibatkan 125 anggota Parlimen Belia Malaysia (APBM) mencadangkan supaya pengedaran, penjualan dan penghasilan vape di Malaysia dikawal.

27 September: Organisasi vape serah 50,000 petisyen

Malaysia Organisation of Vape Entities (MOVE) menyerahkan 50,000 petisyen yang dikumpulkan dari ahli-ahli organisasi mereka sejak bulan Julai.

Presiden MOVE, Samsul Kamal Arrifin berkata, ia bagi memastikan pembuatan, penjualan dan pengedaran produk berkaitan vape dikeluarkan secara sistematik, selamat serta berstruktur.

2 Oktober: Kawal selia vape dan vape sebagai alternatif

Penyelidik dan pakar kardiologi utama The Onassis Cardiac Surgery Centre (OCSC), Dr Konstantinos Farsalinos berpendapat satu sistem kawal selia khusus diperlukan untuk menyelaras penggunaan dan penjualan vape.

Dr Konstantinos juga berkata bahawa adalah penting untuk menjadikan e-rokok sebagai produk yang sah di sisi undang-undang dengan memberi pilihan kepada perokok yang ingin mengurangkan ketagihan nikotin sebagai pengganti kepada penggunaan tembakau konvensional.

25 Oktober: Bateri vape terbakar semasa penerbangan

Pada 6.45 petang, bateri vape milik seorang penumpang terbakar secara tiba-tiba ketika berada dalam penerbangan Malindo Air yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke KLIA2.

Tindakan pantas anak kapal berjaya mengawal kebakaran dan pesawat jenis Boeing 737-800 terbabit selamat mendarat di KLIA2 pada 8.44 malam.

26 Oktober: Vape dilarang dibawa dalam kabin pesawat

Malaysia Airlines Berhad (MAB) mengeluarkan kenyataan bahawa penumpang penerbangan MAB dikehendaki menyimpan rokok elektronik dalam bagasi bawaan mereka.

"Penggunaan rokok elektronik tidak dibenarkan sama sekali dalam  kabin," kata MAB.

29 Oktober: Keputusan timbang pengharaman vape ditentang

Wira Perkasa Malaysia membantah kenyataan Menteri Kesihatan Datuk S. Subramaniam yang menyatakan kesediaan kerajaan mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vapor.

“Mengapa rokok tembakau yang jelas dan nyata membahayakan kesihatan tidak diharamkan? Adakah kerana hasil penjualan vapor ini tidak memberi manfaat kepada kerajaan untuk mengutip cukai? Jangan berat sebelah. Meluluskan rokok tembakau bercukai dan mengharamkan vapor yang ‘bebas cukai’,” kata Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris dalam satu kenyataan.

29 Oktober: Menteri cadang pengharaman vape diteliti

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mencadangkan supaya pengharaman vape diteliti.

"Insya-ALLAH saya akan beri pandangan saya supaya cadangan tersebut dikaji dengan teliti supaya vape tidak diharamkan kerana laporan dari Britain mendapati vape tidak diharamkan malah penghisap rokok digalakkan bertukar kepada vape," katanya dalam sebuah perkongsian di Facebook.

29 Oktober: CAP dakwa pelajar sekolah guna vape

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu Kementerian Kesihatan mengharamkan vape selepas ia digunakan oleh pelajar sekolah secara meluas.

Kata Presiden CAP, S.M Mohamed Idris, aduan daripada ibu bapa dan guru beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan pada jumlah pengguna vape.

30 Oktober: Kerajaan Malaysia tidak haramkan vape

Kabinet Malaysia memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape di kalangan pengguna dan penjual vape.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengesahkan kenyataan tersebut di Facebook.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan putus tidak haramkan vape]


30: Majlis fatwa kaji penggunaan vape

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata Felo Penyelidik Majlis Fatwa Kebangsaan bersama pakar kesihatan, ekonomi dan alam sekitar kini sedang menjalankan kajian tentang vape.

1 November:  MBS gesa wujud garis panduan penggunaan vape

Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Datuk Irmohizam Ibrahim  meminta kerajaan mewujudkan garis panduan mengenai penggunaan rokok elektronik atau vape agar ia tidak disalahguna.

2 November: Mufti berpendapat vape tidak tepati syarak

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata penggunaan  vape belum boleh disifatkan sebagai haram sekiranya kajian menyeluruh berhubung perkara itu belum dimuktamadkan.

“Benda kalau tak boleh, tak bolehlah, apa faedahnya vape, kalau tidak merosakkan, tetapi berbelanja atas perkara tidak berfaedah...ia tetap tidak dibenarkan oleh syarak,” ujarnya ketika ditemui pada Karnival Ukhuwah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Ipoh.

3 November: Penjualan cecair nikotin tanpa lesen akan dirampas

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam berkata penjualan vape yang mengandungi cecair itu akan dirampas jika didapati tidak memiliki lesen untuk menjualnya.

"Kami akan gunakan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan  1983," katanya pada sidang media mengenai Kempen Makan Secara Sihat bersempena Hari Deepavali.

7 November: Anak Najib sokong vape tidak diharamkan

Melalui Facebook, anak lelaki Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Najib meluahkan memberi sokongan terhadap industri vape dan berharap ia tidak diharamkan  dinegara ini.

8 November: Pengusaha vape bimbang, tertekan

Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta), Allan Foo memberikan reaksi kurang senang terhadap operasi serbuan yang dijalankan Kementerian Kesihatan ke atas premis vape di seluruh negara.

Selain itu, pihaknya membuka pintu kerjasama dengan kerajaan dan berharap kerajaan menyediakan garis panduan berhubung penjualan vape.

8 November: Menteri saran henti serbu peniaga vape

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghentikan serbuan ke atas premis menjual cecair perisa rokok elektronik (vape) buat sementara waktu sehingga jawatankuasa yang ditubuhkan kementerian itu bagi menyelesaikan isu berkaitan vape membuat keputusan mereka.

9 November: Hanya ahli farmasi berlesen boleh jual cecair vape

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu Cecair perisa vape yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

Kata Noor Hisham, ia merupakan keputusan terbaru kementerian dalam usaha mengawal penggunaan dan penjualan Vape di Malaysia.

10 November: Perisa vape campur dadah?

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz mendakwa terdapat kes yang berlaku di luar negara yang menunjukkan pengguna vape mencampurkan dadah di dalam cecair vape.

“Perbuatan ini sudah menjadi satu trend di Amerika Syarikat. Jadi bagi saya lebih baik vape diharamkan sebelum budaya mencampurkan dadah dalam vape merebak ke negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

11 November: Dua NGO desak kerajaan teruskan penguatkuasaan

Dua pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) serta Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (Jam'iyah) mendesak Kementerian Kesihatan meneruskan pengkuatkuasaan undang-undang terhadap larangan penjualan vape.

"Apa yang dirisaukan adalah sesiapa sahaja terutamanya pelajar sekolah dan kanak-kanak bebas membeli cecair vape bernikotin di mana sahaja," kata Presiden MCTC, Dr Molly Cheah.

Anggota tetap Jam'iyah, Shaari Ahmad Junid pula memberitahu pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya tiada tindakan dilakukan terhadap penjualan vape.

13 November: SAMM, Vapor Malaya desak KKM mohon maaf

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Vapor Malaya (VM) mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon maaf secara terbuka kepada komuniti vape di negara ini.

Penyelaras SAMM Rembau, Akmal Noradzmi Abdul Rahim berkata tindakan itu perlu bagi memulihkan semula imej komuniti vape khususnya yang terlibat dalam rampasan cecair perisa sejak awal bulan ini.

Akmal Noradzmi juga mendesak KKM memulangkan semula segala barangan vape yang dirampas dari premis-premis susulan kerajaan masih gagal menyediakan garis panduan kepada pengusaha.

17 November: Rokok, vape sama berbahaya, kata Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, vape berbahaya kerana kandungan nikotin yang tinggi dalam produk itu.

"Percayalah, rokok elektronik tidak baik dan sama seperti rokok. Rokok

elektronik menghasilkan bau harum dan berperisa. Apabila anda menghisap rokok,

anda hanya mendapat bau asap. Tetapi apabila anda menghisap rokok elektronik,

anda memperoleh bau yang harum seperti strawberi dan mangga," kata Mahathir.

November 17: KDN pandang serius dakwaan perisa vape mengandungi dadah

Timbalan Menteri KDN, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata KDN memandang serius dakwaan ada cecair perisa vape yang mengandungi dadah.

"KDN terlibat dengan penguatkuasaan, maknanya kalau ada penggunaan dadah berbahaya, ia adalah satu aktiviti haram dan KDN ada kuasa untuk mengambil tindakan," kata Nur Jazlan.

22 November: 20 universiti awam haramkan vape

Sebanyak 20 universiti awam (UA) mengharamkan penggunaan vape di kampus masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Keputusan itu dicapai bersama oleh Naib-naib Canselor di 20 UA berkenaan yang bermesyuarat pada 20 November lepas.

26 November: Jawatankuasa Fatwa Kedah haramkan vape

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan hukum menghisap vape adalah haram.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hukum berkenaan diputuskan melalui hasil Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 November lalu.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah turut bersetuju mengekalkan keputusan mesyuarat 13 Januari 1996 mengenai pengharaman merokok disebabkan ia memudaratkan dan membazirkan.

27 November: Usim larang penggunaan vape di kampus

Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) akan menguatkuasakan larangan penggunaan vape di kawasan kampus bermula 1 Januari tahun hadapan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Musa Ahmad memberitahu garis panduan larangan penggunaan vape di dalam kampus akan dikeluarkan pada pertengahan bulan hadapan.

Beliau berkata, pelajar yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib dan denda.

27 November: KKM tunggu bukti kajian vape

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman memberitahu kementerian sedia menunggu bukti berkenaan melalui hasil kajian saintifik daripada mana-mana pihak dari dalam dan luar negara.

"Jika (kajian) terbukti benar, bolehlah dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam pindaan undang-undang berkaitan larangan vape," kata Lokman Hakim kepada media.

29 November: Johor haramkan penggunaan vape

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengharamkan penggunaan vape di seluruh negeri itu bermula 1 Januari 2016.

""Saya mahu premis vape ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan," titah baginda.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sultan haramkan vape di Johor, tutup operasi]

Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang untuk merangka perancangan bagi memudahkan proses tersebut.

30 November: Peniaga vape Johor minta tempoh kembali modal

Peniaga vape di negeri ini meminta kerajaan negeri mempertimbangkan larangan penjualan produk itu dan memberi tempoh kepada mereka mendapatkan kembali modal perniagaan sebelum ia dikuatkuasakan.

"Berilah masa untuk kami mendapatkan kembali modal bagi penjualan vape ini," kata Noor Azlan Nardi.


Tiada ulasan: