HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2015

Kerajaan disaran kurangkan saiz Kabinet

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man


SHAH ALAM – Rakyat perlu dibebaskan daripada menanggung sebuah kerajaan kos tinggi kerana sikap perbelanjaan pemimpinnya yang didakwa memboros, membazir dan tidak ekonomi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebelum kerajaan mencadangkan langkah yang patut diambil rakyat untuk mengatasi kemelut ekonomi, sewajarnya pemerintah terlebih dahulu bertindak mengurangkan kos sara hidup kerajaan.

“(Kerajaan disaran) mengurangkan saiz Kabinet agar ia sesuai dengan nisbah negara. Menteri dan timbalan menteri yang sering memberikan cadangan kontroversi boleh dibuang agar pembelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan.

“Menyemak kembali peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan mengurangkan kakitangan kontrak bergaji tinggi, (kemudian) menyalurkan peruntukan itu ke sektor pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim juga berkata, JPM perlu menghentikan kewujudan agensi baru dan syarikat milik kerajaan baharu dan misteri yang mempunyai fungsi bertindih dengan agensi kerajaan sedia-ada.

Selain itu, potongan gaji sebanyak 20 peratus bagi menteri dan timbalan menteri perlu dibuat bagi memastikan pemerintah bersama-sama rakyat memikul beban kos sara hidup yang tinggi.

“Hapuskan elaun tol dan minyak menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan agar mereka dapat merasai keperitan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, kerajaan perlu mengurangkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secara berperingkat dan menurunkan cukai pendapatan bagi mereka berpendapatan sederhana untuk meninggikan pendapatan boleh guna seisi rumah.

“GST ke atas keperluan pendidikan perlu dihapuskan manakala subsidi ke atas bahan pendidikan sehingga peringkat universiti perlu dipertimbangkang.

“Jangan biarkan GST menyusahkan perjalanan pendidikan negara dan rakyat marhen,” tegasnya.

Beliau berkata lagi, pimpinan kerajaan sewajarnya memperbaiki diri sendir sebelum membuat sebarang cadangan kepada rakyat.

“Hentilah retorik dan memberikan nasihat tidak masuk akal kepada rakyat. Jangan salahkan orang lain atas kesusahan rakyat kerana tiada lagi yang pernah memerintah negara selain BN sejak merdeka,” katanya lagi.


Tiada ulasan: