HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2015

'Dari main Facebook, lebih baik meniaga online'

Yap Jia Hee


 


Setelah kontroversi demi kontroversi, Datuk Ahmad Maslan hari ini terus mempromosikan perniagaan atas talian sebagai kerja sampingan.

Katanya, lebih baik rakyat Malaysia belajar perniagaan atas talian daripada menghabiskan masa melayari media sosial sampai ke tengah malam.

“Rakyat Malaysia ini minat media sosial, kadangkala berwhatsapp sampai jauh tengah malam, FB dan Twitter.
Tak tahulah hasil apa yang mereka dapat itu.

"Alangkah eloknya kalau mereka belajar tentang e-dagang. Dalam digital ekonomi ini boleh menambah pendapatan,” kata timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI) itu.

Ahmad berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Pusat Pameran Eksport Malaysia hari ini.

Ahmad sebelum ini dirundung kontroversi dengan laporan berkaitan kenyataannya berkaitan dua kerja rakyat Malaysia bagi menghadapi kenaikan kos hidup.

Setelah kritikan hebat, beliau kelmarin menegaskan beliau sendiri terlibat dalam tiga pekerjaan, iaitu timbalan menteri, anggota parlimen dan ketua penerangan Umno.

Beliau juga semalam menjelaskan bahawa pandangannya itu dibuat dalam konteks perniagaan atas talian sebagai kerja sampingan.

Ahmad hari ini turut mengemukakan contoh kejayaan perniagaan atas talian, dengan meniagakan barangan keluaran tempatan.

"Ada pegawai maklumkan kepada saya, contoh kejayaan ialah jual gula melaka, dia dapat jualan empat juta ringgit Malaysia.

“Itu sebab saya amat gembira untuk menghebahkan tentang perniagaan atas talian," katanya.

'Spin' jadi positif

Namun, Ahmad juga mengeluh kerana pandangan beliau selalu dilihat dari sudut negatif di media sosial.

"Apa kata kalau rakyat Malaysia kita spin sesuatu itu ke arah positif. Kalau kita spin suatu perkara ke arah negatif maka selamanya ia akan negatif dan kita tak dapat mencapai apa-apa manfaat," nasihat Ahmad.

Melihat kepada potensi perniagaan atas talian, Ahmad Maslan berkata beliau telah meminta agensi bawah MITI untuk lebih menumpukan kepada perniagaan e-dagang pada tahun hadapan.

"Punca saya beri pandangan itu kerana saya lihat potensi perniagaan atas talian ini dan kerana ramai rakyat Malaysia ada telefon pintar dan minat media sosial.

"Jadi janganlah apa yang saya cadang dilihat dari sudut negatif, spin ke arah negatif selalu tak adil terhadap saya," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad berpendapat rakyat Malaysia akan memahami kenyataan yang diucapkan olehnya suatu hari nanti.

"Perkara (seperti) GST (cukai barangan dan perkhidmatan) selalu difikir negatif tetapi akhirnya GST selamatkan ekonomi negara. Tak apalah, akhirnya rakyat akan faham," katanya.


Tiada ulasan: