Kejayaan Malaysia menarik jumlah penyertaan paling ramai dalam Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) di sini membuktikan reputasi negara tidak terjejas biarpun telah menolak permohonan visa dua pelayar Israel ke kejohanan itu.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kejohanan itu berjaya menarik seramai 433 orang pelayar dari 80 buah negara yang setakat ini berpuas hati dengan tahap penganjuran Malaysia.
"Hari ini kita tengok semua gembira,
berpuas hati dengan penganjuran Malaysia. Tak ada pun yang disebut oleh
wakil World Sailing (ISAF) kepada saya pun berkenaan isu itu sebab
mereka tahu dasar kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan itu malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan tidak membenarkan Yoav
Omer dan Noy Drihan memasuki Malaysia baru-baru ini untuk menyertai
kejohanan itu yang akan bermula esok.
Khairy berkata keputusan itu bukan dibuat oleh beliau tetapi diputuskan
Kabinet menurut dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan
diplomatik dengan Israel.
Khairy berkata beliau tidak boleh menghalang ISAF untuk menjalankan
siasatan berhubung keputusan Malaysia itu namun persekutuan dunia itu
sudah dimaklumkan berkenaan pendirian negara tentang penglibatan Israel
dalam mana-mana kejohanan dunia yang dianjurkannya.
"Bila kita mendapat apa sahaja hak penganjuran, mereka sudah maklum kita
ada dasar tertentu dan kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan
negara tersebut (Israel) dan itulah satu daripada pertimbangan yang
perlu dibuat oleh mana-mana persatuan dunia yang mahu memberi hak penganjuran kepada Malaysia," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden ISAF Chris Atkins yang turut berucap dalam
majlis perasmian itu, berkata kejohanan tahun ini merupakan yang
terbesar pernah dicatatkan berdasarkan jumlah pelayar dan negara yang
menyertainya.
Katanya kejayaan yang dicapai ini adalah hasil daripada komitmen yang
ditunjukkan oleh pelayar-pelayar yang mengambil bahagian dan usaha keras
Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) bagi memastikan kelancaran kejohanan
ini.
"Kejohanan ini akan menjadi permulaan bagi perjalanan pelayar muda ini
menuju Olimpik 2020 dan sebab itulah kami menggelarkan kejohanan ini
sebagai satu permata," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan