Oleh Subky Latif
JUSTERU beban dan sara hidup di seluruh negara sekarang sudah terlalu tinggi dan tidak mampu dikawal oleh sesiapa bahkan oleh Umno pimpinan Najib sendiri, maka tidak ada yang dapat dibuat untuk mengurang dan meringankan beban ibu bapa menghadapi pakaian sekolah anak masing-masing.
Buat penat dan berbuih mulut saja menyalahkan golongan peniaga menjerat pengguna mengaut untung besar daripada penjualan pakaian sekolah. Harga pakaian sekolah yang tinggi melangit itu bukan saja bala bagi golongan berpendapatan rendah bahkan ia bala untuk semua termasuk yang kaya-raya. Malah ia bala juga bagi peniaga sendiri.
Peniaga mungkin rasa gembira dapat menindas pengguna. Tetapi mereka juga berbelanja tinggi untuk pakaian anak-anak dan tanggungannya, sedang sepatutnya boleh mmengurangkan harga pakaian yang patut ditanggung. Tanpa sedar mereka juga telah tipu dan ditindas diri sendiri.
Peniaga beri seribu alasan mengapa harga pakaian tinggi. Kos bekalan semuanya naik. Tiada siapa daripada pembekal benang, pembuat pakaian, pengilang, pengeluar, pengedar dan peruncit bersedia menanggung rugi atas penglibatan masing-masing.
Semua orang tengah ini mesti ada kaut untung. Mungkin tidak tinggi setiap pihak, tetapi kerana semua mesti untung sedikit sebanyak, keuntungan terkumpul itu akan jadi bala kepada pengguna tidak kira mereka papa atau jutawan.
Yang ada tanggungjawab mengawal bala ekonomi ini ialah kerajaan. Tetapi kerajaan yang kita pilih itu juga menjadi sebahagian daripada ejen penindas. Umno yang sepatutnya boleh mengawal, ia juga jadi sebahagian daripada perkongsian sindrom bisu bersekongkol dengan sistem penindasan itu.
Tiada siapa yang arif apakah kuasa di Putrajaya itu boleh digantikan? Sehingga kini Dr. Mahathir pun hilang bisa untuk menggantikan puak penindas itu.
Orang Islam tidak wajar putus asa atas perubahan. Sementara menunggu perubahan, pengguna terpaksa hadapi dan lalui penindasan harga pakaian sekolah sekalipun berhutang bergolok, mencuri dan merompak atau menipu. Memanglah setiap penindasan itu mengundang dosa.
Bagi menghadapi bencana sebelum Umno digantikan, beban pakaian sekolah itu mungkin boleh diatasi oleh rakyat akar umbi yang anak dan cucu masing-masing bersekolah. Setiap sekolah ada PIBG. PIBG dipayungi oleh pejabat pelajaran dan kementerian.
Kementerian tidak mempu mengajar Umno, tetapi ia ada pengaruh menggalak dan membantu PIBG bersyarikat membentuk koperasi atau konsortium menyediakan pakaian untuk semua sekolah. Konsortium itu adalah perniagaan. PIBG yang bersatu yang dipimpin oleh orang yang tahu berniaga daripada kalangan PIBG, bukan daripada golongan penindas kapitalis.
Ia bahagikan kawasan kegiatan mengikut logistik geografi yang munasabah. Ada kilang menjahit dan penjahit yang terlatih. Ia boleh dapat bantuan bahan dan bekalan kilang daripada kerajaan dan cukai atau dengan cukai yang murah. Boleh dapatkan bekalan kain dan benang yan murah – tanpa cukai atau cukai ala kadar.
Dengan sistem dan logistak yang tersusun, semua pakaian yang diperlukan oleh murid boleh didapati daripada kedai koperasi di setiap sekolah. PIBG setiap sekolah mengawal urus tadbir kedai di sekolah masing-masing. Ibu bapa yang miskin boleh mendapat bantuan daripada agensi kerajaan yang banyak itu.
Dalam tempoh penindasan ini semua terpaksa tanggung beban penindasan. Tetapi persiapan mengatasi penindasan mesti dirancang. Sama ada penindasan kekal atau berakhir, konsortium PIBG ini setelah diadakan, mesti berjalan terus supaya beban ibu bapa terbela hingga datang hari kiamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan