HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Disember 2015

Ahmad Maslan: Ada juga minat cadangan 'dua kerja'

Shakira Buang


 


Meskipun dikritik kerana saranan agar rakyat melakukan dua kerja bagi menangani kos sara hidup, Datuk Ahmad Maslan masih tetap berharap cadangannya itu dilihat dari sudut positif.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, masih terdapat rakyat yang berminat dengan cadangan tersebut.

"Saya harap cadangan itu dilihat dari sudut positif. Saya berniat ikhlas memberikan satu idea tambahan kepada rakyat.

"Jika rakyat tidak bersetuju, ada juga yang berminat.

"Bila idea itu dimulakan pada hari Sabtu lepas, saya lihat dalam media sosial memang ada pihak yang tidak bersetuju tetapi pihak yang memahami cadangan saya itu bersetuju. Ramai yang bersetuju," katanya.

Ahmad berkata demikian dalam sidang media selepas Program Turun Padang ke Sapura Industrial Berhad di Bangi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penerimaan rakyat berhubung saranan itu berbeza ketika kerajaan mengumumkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.

"Tidak seperti GST dulu, daripada cabaran yang saya hadapi, yang tak bersetuju itu agak ramai sebab tiada siapa yang bersetuju membayar cukai, bukan? soalnya.

"Tetapi cadangan yang kali kedua ini, yang bersetuju dan tak bersetuju lebih seimbang," katanya yang juga Ketua Penerangan Umno.

Bagaimanapun, anggota Parlimen Pontian itu berkata cadangan itu bukan merupakan satu arahan dari kerajaan.

"Saya tak kata cadangan itu 100 peratus sempurna. Ia hanya satu cadangan bukan arahan kerajaan," tegasnya.

Selain itu, Ahmad juga berkata MITI telah mengarahkan agensi yang terlibat untuk mengadakan kursus mengenai perniagaan dalam talian bermula esok.

"Saya juga memaklumkan bermula esok ini kita adakan kursus perniagaan dalam talian dari peringkat bawah," tambahnya.

Tambahnya, saranan tersebut dibuat berdasarkan formula ‘PKPK’ untuk mengatasi kos sara hidup dan dalam bidang keusahawanan melalui perniagaan dalam talian.

PKPK adalah formula seperti pendidikan tinggi, kemahiran tinggi dan produktiviti tinggi.


Tiada ulasan: