SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas Timbalan
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan
berhubung cadangannya yang menggalakkan golongan berpendapatan rendah
melakukan dua pekerjaan bagi menampung kos sara hidup.
Setiausaha Agungnya, N Gopal Krishnan berkata, kenyataan sedemikian
tidak wajar ditimbulkan, sebaliknya kerajaan patut memikirkan langkah
yang lebih konstruktif bagi menangani isu tersebut.
"Bagi MTUC cadangan itu bukan satu idea konstruktif yang sepatutnya ditimbulkan.
"Sebaliknya MTUC mahu kerajaan memikirkan semula pendekatan dan
merangka strategi-strategi yang berkesan untuk memastikan bahawa setiap
pekerja tanpa mengira sektor swasta atau awam, mempunyai pendapatan yang
mencukupi untuk menyara diri dan keluarga mereka," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Tambah Gopal, cadangan dua pekerjaan tersebut juga dilihat berpotensi
memberi impak yang negatif khususnya kepada kesihatan pekerja itu
sendiri.
"Kajian mendapati memiliki dua pekerjaan boleh membawa impak negatif ke
atas kesihatan, produktiviti dan masa bersama keluarga seseorang
pekerja," ujarnya.
Ahmad pada Sabtu lalu mengesyorkan agar golongan berpendapatan rendah
melakukan dua pekerjaan sebagai satu langkah untuk menangani peningkatan
kos sara hidup.
Malah ujar Ahli Parlimen Pontian itu, pendekatan dua pekerjaan itu juga dilakukan kebanyakan rakyat di luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan