JOHOR BARU,  Empat daripada lapan mangsa nahas bas persiaran di Chiang Mai yang menerima rawatan di hospital Thailand, akan pulang ke Malaysia hari ini.


Empat mangsa yang akan pulang ke Batu Pahat hari ini adalah Tan Yang Soon, 64, Lum Jia Miem, 21, Ng Too Hyiok, 63, dan Teo Tien Chor, 59.

Pengurus Chiu Travel Sdn Bhd Terence Yung berkata, empat mangsa itu akan dirujuk ke Hospital Pantai untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pihak keluarga mangsa meminta agar pihak media memberi ruang kepada pesakit untuk pulih.

“Ini kerana terdapat pedakit yang masih belum tahu mereka telah kehilangan orang yang tersayang dalam tragedi kemalangan di Chiang Mai itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yung yang mewakili syarikat pelancongannya untuk membantu mangsa dan keluarga mereka berkata, empat lagi mangsa masih menerima rawatan di Thailand.

“Empat lagi mangsa masih dalam proses pemulihan dan menerima rawatan di Thailand.

“Chiu Travel telah menempatkan dua kakitangan di Chiang Mai untuk membantu mangsa dan keluarga mereka sehingga mereka benar-benar sembuh dan mampu kembali ke Malaysia,” katanya.

Empat lagi mangsa yang masih menerima rawatan di Thailand ialah Goh Bak Chai (64), Ker Shin Hui (28), Lim Guat Huay (53) dan Lim Ah Gek (64).

Ker dan Guat Huay masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), manakala Goh dan Ah Gek berada di wad biasa.

Terdahulu, mangsa yang terselamat Lee Siew Kim, 61 telah kembali ke tanah air pada 23 Disember bersama 13 mayat mangsa yang lain.

Tragedi kemalangan bas yang membabitkan 22 rakyat Malaysia berlaku pada 22 Disember lalu ketika dalam perjalanan dari Chiang Mai ke Chiang Rai.

Kesemua penumpang warga Malaysia dadalah dari Batu Pahat, Johor.