HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Disember 2015

Israel: Sokong BDS jika cintakan keadilan

 
Agar Israel akur kepada undang-undang antarabangsa dan menghentikan penjajahan, kepungan serta dasar aparteid ke atas rakyat Palestin


dr-hafidzi-ikram


PETALING JAYA: Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru setiap rakyat Malaysia supaya menyokong inisiatif Boycott (pemulauan), Divestment (perlucutan hak) dan Sanctions (sekatan) atau BDS yang sedang hebat dikempenkan di seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembelaan Umat Sejagat IKRAM, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor meminta semua pihak yang cintakan keadilan dan keamanan supaya bersama menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Ini adalah usaha untuk memberi tekanan kepada Israel agar akur kepada undang-undang antarabangsa dan menghentikan penjajahan, kepungan serta dasar aparteidnya ke atas rakyat Palestin,” kata Hafidzi.

Bagi pihak IKRAM, Hafidzi mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana bertindak selaras dengan dasar untuk tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, dan menyambut baik tindakan DAP Perak menarik balik kenyataan yang membidas tindakan Khairy.

“IKRAM menyeru agar kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas yang sama terhadap mana-mana hubungan dagang Malaysia-Israel sekiranya ada.

“IKRAM juga mengecam sebarang usaha normalisasi hubungan Malaysia-Israel dalam apa bentuk sekali pun sama ada dari sudut politik, ekonomi, akademik, sukan, kebudayaan dan sebagainya,” kata beliau.

Sebelum ini, media Times of Israel melaporkan Malaysia memihak kepada Palestin tetapi berdagang dengan Israel secara sulit.

Memetik laporan Biro Statistik Pusat (CBS), Times of Israel melaporkan jumlah keseluruhan dagangan antara kedua-dua negara mencecah US$1.529 bilion pada 2013, sekali ganda jumlah dagangan pada 2012.

Sebahagian besar jumlah itu merupakan ekspot Israel ke Malaysia, iaitu US$1.457 bilion. Menurut media itu lagi, ekspot ke Israel tidak dinyatakan secara khusus, dan dimasukkan di bawah kategori negara-negara lain.

Tiada ulasan: