HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Disember 2015

Tipu pelanggan: KPDNKK buru lapan pemilik kedai

 
Lapan pemilik kedai telekomunikasi di Kompleks Kota Raya masih menutup operasi sejak serbuan dilakukan KPDNKK


kpdnkk


PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membuka kertas siasatan bagi menjejak pemilik kedai telekomunikasi yang dilaporkan menipu pengguna.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sejak serbuan awal dilakukan, penguatkuasa mendapati kedai yang tersenarai dalam laporan mangsa masih menutup operasinya.

“Kebanyakan laporan menamakan lapan buah kedai di Kota Raya. Ketika kita buat serbuan, kedai-kedai ini masih ditutup. Jadi kita akan buka kertas siasatan bagi menjejak pemiliknya,” katanya kepada FMT.

Katanya lagi, KPDNKK juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengesan identiti dan alamat pemilik.

“Kita akan cari alamat penuh pemilik dan menghantar notis menuntut mereka membuat penjelasan, sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Namun, beliau mengakui proses ini akan mengambil sedikit masa kerana turut melibatkan agensi-agensi yang lain.

Bermula 21 Disember lalu, KPDNKK membuka tiga kaunter khas di Kompleks Kota Raya, Plaza Low Yat dan Kompleks Pertama untuk memudahkan mangsa penipuan membuat laporan.

Operasi kaunter di Plaza Low Yat dan Kompleks Pertama berakhir semalam, manakala kaunter di Kompleks Kota Raya akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Tinjauan FMT di Kompleks Kota Raya pada Ahad, mendapati seramai 10 lagi pengguna tampil membuat laporan mendakwa ditipu peniaga penjual telefon bimbit.

Tiada ulasan: