HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Disember 2015

1MDB: Johor, China beli ekuiti Bandar Malaysia‎

1MDB: Johor, China beli ekuiti Bandar Malaysia‎


KUALA LUMPUR - [VIDEO] Sebahagian tanah Bandar Malaysia milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dijual kepada sebuah konsortium usahasama antara syarikat milik Kerajaan Negeri Johor dan sebuah syarikat mega dari China.

Menurut 1MDB, pihaknya melaksanakan tandatangan Perjanjian Jual Beli Saham Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) sebanyak 60 peratus yang bersamaan RM7.41 bilion itu, hari ini.

Tanah Bandar Malaysia berukuran 486 ekar itu dinilai RM12.35 bilion secara keseluruhannya.

Konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah perkongsian awam-swasta antara Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata, proses pembidaan dilakukan secara terbuka dengan penyertaan 40 pelabur dari dalam dan luar negara.

"Hasil daripada jualan ini, 76% daripada Bandar Malaysia akan dimiliki entiti Malaysia yang mana kira-kira 54% daripada projek tersebut dimiliki Kerajaan Pusat dan Johor.

"Kemasukan CREC sebagai rakan kongsi antarabangsa dengan ekuiti projek sebanyak 24% mewakili Pelaburan Langsung Asing (FDI)," katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Perjanjian itu yang turut dihadiri wakil IWH, Tan Sri Lim Kang Hoo serta wakil CREC, Cai Zemin dan Ma Li.

Menurut Arul juga, pembangunan di Bandar Malaysia telah menerima kebenaran dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun ini.

Kebenaran bersyarat yang diberi berdasarkan pelan induk Bandar Malaysia itu adalah untuk pembangunan bercampur pada purata nisbah plot kasar 4.05 melangkau keseluruhan tapak seluas 486 ekar di Sungai Besi.

1MDB akan menerima deposit 10% bersamaan RM741 juta setelah perjanjian Jual Beli Saham itu dimetrai dan urusniaga itu dijangka lengkap menjelang Jun 2016.

Bandar Malaysia akan dibangunkan dalam tempoh 15 hingga 25 tahun pada unjuran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM150 bilion.


Tiada ulasan: