HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Disember 2015

'Baki 40% Bandar Malaysia boleh dipindah kepada k'jaan'

 Geraldine Tong


 


Baki 40 peratus pegangan dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd yang masih dimiliki 1MDB boleh dipindahkan kepada Kementerian Kewangan, kata Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Bercakap pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Arul berkata perkara itu adalah antara pilihan yang sedang dipertimbangkan mereka.

"Pada masa ini, tiada keputusan muktamad telah dibuat.

"Ia adalah satu pilihan seperti yang dibayangkan di bawah pelan rasionalisasi yang diumumkan pada Jun 2015," kata Arul Kanda.

Beliau menegaskan pada masa ini, tiada keputusan dibuat ke atas apa yang perlu dilakukan dengan baki 40 peratus pegangan.

"Tiada sebarang keputusan muktamad mengenainya pada masa ini. Bagaimanapun, ia adalah satu pilihan yang disenaraikan dalam pelan rasionalisasi berkenaan," katanya.

Awal hari ini, 1MDB mengumumkan ia telah menjual 60 peratus pegangan dalam Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corporation Sdn Bhd.

1MDB yang dimiliki 100 peratus oleh Kementerian Kewangan sebelum ini dibelenggu pelbagai kontroversi, termasuk hutang sebanyak RM42 bilion.

Syarikat itu merangka satu pelan rasionalisasi yang diumumkan pada Jun tahun ini, dengan janji bahawa ia akan menyelesaikan masalah menjelang akhir tahun ini.

Salah satu matlamat dalam pelan rasionalisasi itu adalah supaya anak-anak syarikatnya menjadi syarikat yang mandiri.

Pada sidang akhbar hari ini, wartawan diminta memberi tumpuan kepada soalan berkaitan perjanjian antara 1MDB dan konsortium itu.

Arul Kanda juga disoal mengenai isu lain, tetapi mengetepikan soalan berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh syarikat pelaburan negara itu.


Tiada ulasan: