Seorang ADUN DAP di Pulau Pinang membuat laporan polis ekoran bimbang akan keselamatan dirinya yang kini diburu pemungut hutang selepas dikatakan gagal melunaskan pinjaman sebanyak RM200,000.
Difahamkan, wakil rakyat lelaki berusia 35 tahun yang memenangi kerusi negeri dalam Parlimen Tanjong dalam pilihan raya umum ke-13 itu membuat laporan polis pada Selasa selepas beberapa kali menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menuntut hutangnya sejak Isnin lepas.
Sumber berkata pusat khidmat ADUN itu di Jalan Free School, di George Town turut didatangi dua lelaki pada Selasa bagi menuntut hutang yang dipinjam wakil rakyat berkenaan.
Katanya berdasarkan siasatan awal polis mendapati peniaga berusia 37 tahun yang memberi pinjaman kepada ADUN itu mendakwa mereka mengenali antara satu sama lain sejak tahun 2012 dan beberapa kali memberi pinjaman kepada wakil rakyat berkenaan.
"Lelaki yang merupakan pemilik sebuah kedai pajak gadai itu mendakwa memberikan pinjaman wang tunai beberapa kali dan paling banyak RM150,000 pada tahun lepas iaitu bagi menampung kos pembinaan sebuah projek perumahan yang dijalankan ADUN berkenaan dengan seorang ahli perniagaan di negeri ini.
"Semua urusan pinjaman itu dibuat di pusat khidmat ADUN itu bagaimanapun tiada sebarang dokumen perjanjian kerana ia berdasarkan atas faktor percaya pada kawan," katanya.
Sumber itu berkata wakil rakyat berkenaan bagaimanapun menafikan ada membuat pinjaman walaupun sebelum ini telah beberapa kali menerima panggilan telefon daripada individu terbabit yang mahu menuntut hutang daripadanya.
Katanya peniaga itu juga memaklumkan sehingga Mei tahun lepas, hanya dua bayaran melalui cek berjumlah RM20,000 dibuat oleh ADUN berkenaan dan selepas itu tiada sebarang bayaran dibuat.
"Selepas itu lelaki berkenaan beberapa kali menghubungi wakil rakyat terbabit untuk menuntut pinjamannya bagaimanapun pelbagai alasan diberikan ADUN tersebut.
"Sebab itu dia buat keputusan untuk menghantar dua pekerjanya ke pusat khidmat wakil rakyat berkenaan pada Selasa bagi menuntut hutang sebelum laporan polis dibuat ADUN terbabit kerana bimbang keselamatannya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan polis dari ADUN itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan