Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengetepikan beberapa soalan yang berkaitan dengan masalah syraikat pelaburan negara itu, khususnya berhubung dakwaan dari akhbar The Wall Street Journal (WSJ).
Ini pada sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini, selepas majlis menandatangani perjanjian penjualan saham Bandar Malaysia Sdn Bhd dengan konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation Sdn Bhd.
Seorang wartawan meminta Arul Kanda untuk mengulas dakwaan berterusan WSJ terhadap 1MDB.
"Saya minta maaf, kita cakap tentang Bandar Malaysia sahaja. Bagaimanapun, cubaan yang baik," katanya, sambil ketawa.
Sebelum itu, pengacara majlis mengingatkan wartawan supaya memberi tumpuan kepada soalan yang berkaitan dengan tawaran perjanjian itu tetapi beberapa wartawan tetap mengajukan beberapa soalan lain.
Arul Kanda cekap menepis dengan berkata, pihaknya akan menganjurkan satu lagi sidang akhbar pada masa akan datang bagi menjawab isu-isu 1MDB berkenaan.
Selasa lalu, WSJ membongkar kisah terbaru dengan mendakwa bahawa 1MDB berbelanja tidak sepadan dengan aliran tunai dan memberi keutamaan kepada perbelanjaan politik seperti yang diarahkan oleh ahli perniagaan Jho Low.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan