KUALA LUMPUR,  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan sebuah panel bebas khas, bagi meneliti segala syor berkaitan siasatan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion, sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara.


Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Abu Zahar Ujang menyambut baik keputusan SPRM menerima syor JKMR itu, seperti dalam Laporan Tahunan 2014 yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen, pada 1 Disember lalu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengurusan Tertinggi SPRM yang bermesyuarat pada 22 Disember 2015 telah mencapai persetujuan berkenaan pelantikan ahli-ahli panel bebas khas ini yang terdiri daripada kalangan profesional dan tidak terlibat dalam parti politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Abu Zahar hanya memaklumkan, panel bebas khas itu terdiri daripada lima ahli yang menganggotai tiga daripada lima badan bebas memantau perjalanan SPRM, tanpa menamakan ahli-ahli tersebut.

JKMR sebelum ini mengesyorkan penemuan dan hasil siasatan kes-kes khas berprofil tinggi, dibentangkan kepada sebuah panel bebas khas terlebih dahulu, sebelum laporan siasatan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk keputusan muktamad.

Sebagai badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, cadangan JKMR supaya ditubuhkan panel bebas khas itu, kata Abu Zahar, bertujuan memastikan cadangan dalam laporan siasatan dibuat berdasarkan merit bukti yang dikumpul SPRM dan siasatan SPRM adalah telus.

“JKMR yakin penubuhan panel bebas khas ini yang julung kali dibentuk, akan menangkis kemungkinan tanggapan atau persepsi negatif terhadap SPRM yang sentiasa menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.

“Malah, JKMR berpendirian, langkah ini penting, memandangkan siasatan semasa yang dikendalikan SPRM melibatkan kes khas berprofil tinggi.

“JKMR juga memberi jaminan, pembentukan panel khas ini tidak sama sekali mencabar dan menjejaskan segala kuasa Peguam Negara yang ada di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam membuat keputusan, kerana peruntukan perundangan itu tetap terpelihara,” kata Yang Dipertua Dewan Negara itu.