shahbudindotcom
Apabila
Ahmad Maslan mengatakan beliau sendiri melakukan tiga kerja dalam satu
masa iaitu sebagai timbalan menteri, ahli parlimen dan ketua penerangan
UMNO, apakah beliau sebenarnya kelihatan lebih cerdik dan hebat atau
lebuh teruk daripada sebelumnya?
Semalam
beliau menyebut bahawa mereka yang melakukan dua kerja dalam satu-satu
masa bukanlah perkara luar biasa, malah katanya, kerajaan juga
menggalakkannya sebagai satu cara menangani peningkatan kos sara hidup.
Untuk
mewajarkan kata-katanya itu, hari ini beliau sekonyong-konyongnya cuba
tampil dengan hujah lebih kukuh dengan menjadikan dirinya yang kononnya
mempunyai tiga kerja secara serentak sebagai contohnya.
Dalam
erti kata lain, Ahmad Maslan cuba meyakinkan rakyat bahawa jika beliau
yang berbadan kecil dan agak rendah pula boleh memikul tiga kerja dalam
satu masa, apalah susahnya untuk rakyat melakukan sekadar dua kerja
sahaja.
Kesian
Mat Maslan...beliau nampaknya tidak tahu membezakan antara kerja dengan
jawatan. Apa yang dimilikinya sekarang iaitu sebagai timbalan menteri,
ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO secara serentak adalah jawatan
dan bukannya kerja.
Jawatan
yang disandangnya sekarang adalah anugerah, pemberian atau pilihan yang
dibuat Najib Razak selaku Perdana Menteri kepadanya dan ia bukanlah
kerja tambahan yang dilakukan kerana tidak cukup pendapatan.
Ia
jauh berbeza dengan konsep melakukan dua kerja yang dikatakannya
digalakkan oleh kerajaan sebelum ini. Lagi pun, semua orang sedia
diberikan lebih daripada satu jawatan, tetapi ramai yang mengelak untuk
melakukan lebih daripada satu kerja.
Selain
itu, tiga jawatan yang diberikan Najib kepadanya itu, kadang-kadang
boleh pula dilakukan secara serentak. Misalnya, di pejabat timbalan
menterinya, beliau juga boleh berfungsi sebagai ahli parlimen dan ketua
penerangan UMNO.
Di
ketika yang lain pula, tugasnya sebagai ketua penerangan UMNO boleh
juga dilakukan dengan menggunakan perbelanjaan sebagai timbalan menteri.
Balik kawasan menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parlimen juga
biasanya turut menggunakan kemudahan kereta kerajaan yang diperuntukan
kepadanya sebagai timbalan menteri.
Maknanya, walaupun ada tiga jawatan, ketiga-tiganya saling menyenangkan dan bantu-membantu antara satu sama lain.
Sudah
tentu tiga jawatannya yang disandangnya itu berbeza dengan dua kerja
yang dilakukan oleh seorang kerani kerajaan yang misalnya menjual burger
atau meniaga secara kecil-kecilan pada waktu malam.
Dua
kerja itu bukan saja saling berbeza, bahkan tidak boleh bantu membantu
antara satu sama lain, bahkan merupakan kesalahan pula jika menggunakan
kemudahan pejabat untuk berniaga atau kerja-kerja sampingan yang lain.
Oleh
itu, perbandingan Ahmad Maslan mengenai dirinya itu tidak betul sama
sekali. Beliau sebenarnya ada tiga jawatan yang dianugerahkan kepadanya
dalam satu-satu masa yang menyebabkan pendapatannya juga bertambah.
Ia
berbeza dengan mereka yang melakukan lebih daripada satu kerja untuk
menambah pendapatan. Jika analogi Ahmad Maslan itu mahu diterima pakai,
semua pekerja seharusnya juga diberikan satu atau dua jawatan lain yang
bergaji secara serentak, bukannya mereka terpaksa melakukan kerja lain
yang berbeza untuk menampung kenaikan kos sara hidup.
Lantaran
itu, ramai kawan-kawan dalam UMNO bersungut mengenai kenyataan terbaru
beliau dengan berkata, Ahmad Maslan lebih kelihatan sebagai seorang
cerdik dan pandai apabila beliau mendiamkan diri berbanding jika mula
berkata-kata.
Kata
mereka, wajahnya yang bersih dan rambutnya yang sentiasa basah dan
bersisir rapi itu benar-benar memperlihatkannya sebagai seorang yang
boleh diyakini jika belum mendengar kata-kata yang keluar daripada
mulutnya.
Namun,
kata mereka, sebagaimana yang sudah banyak kali dibuktikan sebelum ini,
sebaik saja mulutnya terbuka dan lidahnya berbicara, segala tanggapan
awal mengenai dirinya akan musnah dengan sekelip mata.
Itulah
Ahmad Maslan, sehingga di suatu peringkat apabila ramai yang
memperlekeh kata-katanya, beliau segera menunjukkan pencapaian pointer
CGPA 3.85 yang pernah dirangkulnya sambil berkata, "saya bukanlah bodoh
sangat."
Tetapi
dalam beliau mengatakan dirinya tidak bodoh itu, rasanya dalam sejarah
Malaysia moden, beliaulah satu-satunya pemimpin politik yang pernah
menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan pencapaian semasa belajar kepada
umum secara terbuka.
Sudah
tentu orang cerdik tidak melakukan perbuatan seperti itu kerana orang
cerdik akan menunjukkan kecerdikannya melalui hasil kerjanya untuk
dinilai, bukan dengan cara menayangkan sijil.
Dalam
isu GST misalnya, terlalu banyak kata-kata yang pernah dilafazkannya,
bukan saja tidak masuk akal, malah dakwaannya cukai baru itu akan
menurunkan harga barang, sehingga sekarang masih juga tidak menjadi
kenyataan.
Dalam
cuba menunjukkan dirinya hebat kononnya mampu melakukan tiga kerja
dalam satu masa, Ahmad Maslan secara tidak langsung telah mempamerkan
ketidakcerdikannya kepada umum.
Bahkan,
kesungguhannya mahukan rakyat melakukan dua kerja berbanding menumpukan
lebih banyak masa untuk keluarga juga menunjukkan kegagalan kerajaan
yang dianggotainya dalam meringankan beban kehidupan rakyat melalui
pelbagai perancangan dan program selama ini.
Tiada
apa kelebihan yang boleh dibanggakan dengan tiga jawatan serentak Ahmad
Maslan itu kerana jika diperiksa, ada pengerusi GLC, selain memegang
jawatan di syarikat induk, turut juga menjadi pengerusi kepada berpuluh,
malah beratus anak syarikat yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan