HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Disember 2015

Banjir: Semakin ramai dipindahkan di Terengganu

MALAYSIAKINI


 


Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat pagi ini kepada 1,704 orang daripada 503 keluarga berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Menurut Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN), sebanyak 31 pusat pemindahan dibuka di beberapa dearah sekitar Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Kemaman mencatatkan jumlah mangsa terbanyak iaitu 991 orang (daripada 243 keluarga), diikuti Hulu Terengganu 474 orang (194 keluarga), Dungun 231 orang (64 keluarga) dan Marang sebanyak lapan mangsa (dua keluarga).

Pusat pemindahan yang dibuka sejak dua hari lepas bertambah dengan Kemaman kini sebanyak 15 pusat, Hulu Terengganu (11 pusat), Dungun (empat pusat) dan Marang sebuah pusat.

Cuaca pagi ini dilaporkan cerah.

Sementara itu, hujan berterusan sejak awal pagi semalam menyebabkan kira-kira 2,000 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di Gua Musang terputus hubungan apabila menyebabkan dua jambatan yang merentasi Sungai Chalil ditenggelami air.

Kedua-dua jambatan utama itu, yang menghubungkan RKT Kesedar Chalil dengan kawasan lain termasuk bandar Gua Musang, ditenggelami air limpahan sungai itu sedalam 0.8 meter sejak 3 petang semalam.

Ketua Peneroka RKT Kesedar Chalil, Mat Lazim Yaacob berkata kebanyakan peneroka yang ke bandar Gua Musang atau tempat lain tidak dapat pulang ke rumah masing-masing kerana terputus hubungan.

Beliau berkata jambatan itu sering ditenggelami air setiap kali hujan lebat walaupun di luar musim tengkujuh, menyebabkan penduduk bimbang untuk keluar dari kampung berkenaan.

"Hujan berterusan ketika ini... kemungkinan air sungai semakin naik dan mengambil masa agak lama untuk surut selepas hujan berhenti," katanya kepada pemberita semalam.

Mat Lazim berkata penduduk di kawasan rendah RKT itu juga bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan jika hujan berterusan.

"Pada musim tengkujuh tahun lepas, jambatan itu juga tenggelam hingga menyukarkan para penduduk," katanya.

Sementara itu, seramai 36 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Guchil 7 di Kuala Krai dipindahkan ke pusat pemindahan banjir Pejabat Vaterinar Kuala Krai malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Mohamad Hanif Che Khalid berkata mangsa yang terdiri daripada 23 dewasa dan 13 kanak-kanak dipindahkan bermula 7 malam tadi.

"Kampung ini terletak di kawasan rendah yang sering dinaiki air berikutan limpahan air Sungai Durian apabila hujan lebat berterusan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata beberapa kawasan rendah lain turut dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam namun tiada penduduk yang dipindahkan dan semua jalan raya di Jajahan Kuala Krai boleh dilalui.

Sementara itu, paras air sungai utama di negeri ini masih di bawah paras waspada kecuali Sungai Lebir di Tualang di paras amaran 31.25 meter (bahaya 35 meter).- Bernama


Tiada ulasan: