ULASAN Saya merasa terkejut apabila seorang pemimpin muda DAP Perak, Chong Zhemin mengherdik larangan memasuki Malaysia terhadap ahli sukan luncur angin Israel daripada menyertai kejohanan luncur angin di Langkawi.
Kenyataan yang sangat mengejutkan rakyat Malaysia apabila dilihat bertentangan dengan aspirasi rakyat Malaysia dan antarabangsa.
Walaupun beliau telah menarik balik kenyataan tersebut, namun pendirian tersebut sangat dangkal.
Kekejaman Isreal bukan persoalan sukan atau kebajikan tetapi persoalan kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Ia bukan perkara baru tetapi sudah diperakui dunia akan kekejaman rejim zionis Israel. Oleh yang demikian tiada perselisihan pendapat dalam perkara ini.
Kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga tidak wajar dan tidak matang. Tidak timbul persoalan ‘kompromi profesional’.
Itulah jua alasan perdana menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamad kononnya dengan membenarkan pasukan kriket Israel datang ke Malaysia maka mereka akan insaf melihat keharmonian Malaysia.
Ratusan rakyat ditahan
Mereka kemudian kononnya dan akan mendesak Israel menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.
Jika Nga menjelaskan ‘kompromi profesional’ untuk dua orang peluncur angin Israel tidak akan mengubah sedikit pun prinsip dan pendirian tegas dalam isu Palestin-Israel, maka apa gunanya beliau membantah Bajet 2016.
Ia juga sedikit pun tidak akan mengubah keputusan kerajaan kerana anggota parlimen pembangkang tetap minoriti.
Pembangkang mengundi menolak Bajet 2016 kerana rakyat Malaysia. Tiada kompromi dengan kerajaan BN yang zalim dan Tiada kompromi dengan Israel.
Pendirian saya sejak dahulu dalam isu Israel tegas dan jelas, tiada kompromi dalam apa jua perkara.
Saya dihadapkan ke mahkamah ketika mana saya bersama-sama rakyat Malaysia bersama dalam bantahan kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia pada tahun 1997.
Ratusan rakyat Malaysia ditahan ketika bantahan tersebut.
Setelah empat tahun turun naik mahkamah, pada tahun 2000, mahkamah mendapati kami bersalah membantah kehadiran pasukan kriket Israel tersebut dan kami dikenakan denda atau penjara.
'Tolak Umno, tolak Israel'
Saya bersama-sama rakan saya, Salahudin Ayub dan Pak Amjal (Jalaluddin Abdul Manap) memilih tidak tunduk kepada keputusan mahkamah untuk membayar denda.
Sebaliknya kami memilih penjara demi mempertahankan prinsip bahawa tiada kompromi dalam isu Israel.
Saya ingin tegaskan kegagalan kerajaan Malaysia Umno-BN dalam menjaga kepentingan umat Islam khasnya dan Malaysia amnya amat dikesali.
Berjayanya agen-agen Israel meresapi ke jantung pemimpin utama negara melalui Apco tempoh hari sudah cukup menjadi pengajaran kepada kita.
Tatkala Apco yang jelas institusi yang ada hubung kait dengan Israel ini menjadi penasihat kepada kerajaan Malaysia, bermakna segala intipati negara dan rakyat dilacurkan kepada Israel.
Sikap pilih kasih kerajaan Umno-BN dalam berurusan dengan Israel juga amat dikesali apabila dimaklumi terdapatnya hubungan dagang Malaysia-Israel sejak 1997, walaupun dipertegaskan tiada hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Saya menyeru rakyat Malaysia agar terus kekal dan komited dalam mempertahankan hak dan keadilan serta perjuangan rakyat Palestin dengan menolak apa jua kerjasama dan kompromi dalam apa jua perkara dengan Israel.
Tolak Umno, tolak Israel.
DATUK MAHFUZ OMAR anggota parlimen Pokok Sena.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan