BEN TAN
ACP Sulaiman Salleh
berkata, suspek sebelum itu bertindak memukul mangsa dengan kayu dan
meminta pasport sebelum ketibaanm polis. Foto TRP/ Ben Tan
JOHOR BARU, Dua lelaki yang bertindak menyamar sebagai anggota polis berpakaian preman ditahan ketika cuba menyamun sebuah rumah di Larkin semalam.
Kedua-dua suspek berusia 26 tahun itu
dikepung oleh lima anggota polis berpakaian preman di sebuah rumah di
Lorong 5, Jalan Sentosa kira-kira jam 8.15 malam selepas polis menerima
maklumat berhubung satu cubaan samun.
Mangsa yang merupakan dua pekerja warga Myanmar, yang sebelum itu diperas ugut oleh ‘polis berpakaian preman’.
Ketua Polis Johor Baru Selatan, ACP
Sulaiman Salleh berkata, sepasukan anggota berpakaian preman sedang
menjalankan rondaan rutin cegah jenayah dengan motosikal sebelum
bertindak dengan panggilan kecemasan.
“Pasukan dari Balai Polis Larkin mengambil masa lebih kurang lima minit untuk tiba ke lokasi sebelum menahan suspek,” katanya.
Sulaiman berkata, suspek sebelum itu bertindak memukul mangsa dengan kayu dan meminta pasport sebelum ketibaan polis.
Menurutnya, polis turut merampas sebatang
kayu sepanjang satu meter, sebuah motosikal Honda EX5 dan sekeping kad
merah yang dikatakan ‘kad kuasa polis’ daripada suspek.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek
memiliki rekod jenayah lampau, satu kes rompakan berkumpulan dan satu
kesalahan berkaitan dadah.
Suspek juga disahkan positif dadah jenis amphetamine selepas menjalani ujian air kencing.
Sulaiman berkata polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 395 dan 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun berkawan.
“Kami turut menjalankan siasatan ke atas
suspek di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai
anggota polis dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Merbahaya,” katanya.
Sulaiman turut menasihatkan orang awam
agar sentiasa berwaspada apabila dihampiri orang yang mencurigakan dan
memperkenalkan diri sebagai anggota polis atau penguatkuasa kerajaan.
“Dalam masa yang sama, orang awam juga
boleh membantu pihak polis dengan melaporkan seberapa segera sebarang
aktiviti yang mencurigakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan