HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2015

Jangan ‘tutup mulut’ orang bahas isu agama

 
Bahaya jika rakyat tidak diberi perspektif yang tepat dalam isu agama apabila ada pihak berpendapat mereka sahaja layak memberi pandangan


mujahid-rawa


PETALING JAYA: Mana-mana pihak tidak seharusnya cuba ‘menutup mulut’ orang lain untuk membahaskan apa-apa isu termasuk yang melibatkan agama Islam.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan itu akan mengakibatkan rakyat tidak mendapat perspektif yang tepat dalam sesuatu isu.

“Amat bahaya jika rakyat tidak diberi perspektif yang tepat dalam apa-apa isu kerana ada pihak tertentu yang fikir hanya mereka sahaja yang layak mengutarakan pandangan.

“(Maka) Semua pihak, sama ada G25 dan juga Perkasa, perlulah berbahas secara ilmu, bukan berdasarkan emosi semata-mata,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkan jurucakap kumpulan G25 Datuk Noor Faridah Ariffin tidak layak bercakap tentang soal agama kerana tiada pengetahuan mendalam mengenai agama Islam.

Dalam pada itu, Mujahid tidak melihat sebarang masalah dalam tindakan Noor Faridah mengkritik undang-undang jenayah syariah sebelum ini.

“Saya meneliti apa yang diperkatakan Noor Faridah dan ia adalah isu pentadbiran agama, bukannya prinsip agama itu sendiri. Jadi kita kena meletakkannya dalam konteks undang-undang.

“Mengkritik pentadbiran agama tidak boleh disamakan dengan mengkritik agama,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan agama bukan mengenai aspek penguatkuasaan semata-mata, tetapi juga merangkumi aspek pendidikan.

Sebelum ini, pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdul Naser Tun Rahman juga mengatakan umat Islam perlu lebih mengutamakan soal pendidikan berbanding hukuman.

Tiada ulasan: