HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2015

Pengusaha vape Kelantan mahu hantar memorandum kepada kerajaan negeri

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Pengusaha industri vape Kelantan bercadang mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan kerajaan negeri untuk menyerahkan memorandum meminta kerajaan negeri menarik balik arahan penutupan kedai vape yang dibuat sebelum ini. 
 
Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu (PPVM) Kelantan, Mohd Azlee Che Mohd Zaid berkata, sebagai alternatif, pihaknya meminta agar peniaga vape diberikan lebih masa sambil menambah, seramai 350 ahli pertubuhan itu meminta tempoh penangguhan enam bulan untuk menghabiskan jualan bagi mengurangkan kerugian mereka.
 
"Kami berpendapat bahawa kerajaan perlu menumpukan perhatian kepada fatwa lain yang dikeluarkan oleh mufti negeri mengenai rokok dan penjualan komoditi seumpamanya di Kelantan," katanya dipetik The Star Online.
 
"Kami juga menyeru kepada kerajaan untuk menerima pakai pendekatan yang lebih bertolak ansur dan mengambil kira kehidupan pengusaha industri vape yang akan kehilangan berjuta-juta ringgit membeli peranti dan cecair," kata Mohd Azlee.
 
Kerajaan negeri Kelantan akan menguatkuasakan larangan penjualan vape mulai 1 Januari 2016.
 
Notis juga telah dihantar kepada 350 pengusaha supaya mengosongkan kedai mereka.
 
Kelantan merupakan negeri kedua selepas Johor yang mengharamkan penjualan vape kerana pengaruh dan isu-isu kesihatan yang tidak baik.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, keputusan mengharamkan penjualan vape dibuat selepas pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan, jabatan kesihatan, polis, jabatan mufti dan badan-badan lain berkaitan.
 
Beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil kira semua aspek sebelum memutuskan pengharaman berkenaan, selain mendapati iatidak berfaedah kepada masyarakat.
 
Abdul Fattah berkata, pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengabaikan larangan itu termasuk menyita barangan dan mengeluarkan kompaun terhadap peniaga degil.

Tiada ulasan: