HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Disember 2015

Rayani Air: Kenapa ada yang rasa tergugat?

 
Tak suka, tak perlu naik, masih banyak lagi pilihan. Takde orang yang paksa anda!
 
 
 
Rayani-Air_600


Tiba-tiba sebuah syarikat penerbangan tempatan dengan hanya lapan juruterbang dan 50 krew menjadi buah mulut, bukan sahaja dalam kalangan orang kita tetapi juga antarabangsa.

Tahniah Rayani Air atas usaha dan pemikiran kreatif lagi terbuka yang menjadikan anda buah mulut semua orang sepanjang cuti Krismas. Ingat, publisiti sangat mahal dan anda memperolehnya secara percuma!

Menarik tentang syarikat penerbangan ini, ia dilabelkan sebagai antara penerbangan Islamik yang terhad di dunia dan pertama di Malaysia sekaligus membuka peluang kepada penumpang Islam untuk terbang lebih selesa dan yakin.

Peliknya, ramai pula orang bukan Islam yang terasa tergugat. Persoalan saya, kenapa mesti anda rasa tergugat? Saya tidak faham, bagi saya pilihan di tangan kita sama ada mahu menggunakan penerbangan itu atau sebaliknya.

Tak suka, tak perlu naik, kita masih banyak lagi pilihan. Takde orang yang paksa anda!

Untuk penyampaian yang senang difahami, saya beri contoh mudah:

Jika saya membuka sebuah restoran konsep makanan vegetarian, adakah patut anda merungut kerana restoran saya tidak menghidangkan daging? Adakah patut anda rosakkan nama saya semata-mata kerana makanan yang dihidang vegetarian? Saya pula langsung tidak memaksa anda menjamu di restoran saya!

Restoran ini dibuka kepada mereka yang mencari makanan tanpa daging. Jika anda mahu cuba, dialu-alukan, tak mahu, saya tidak rugi apa-apa, semuanya pilihan pelanggan. Untung rugi pun tanggungjawab saya. Mudah bukan?

Begitu juga dengan konsep penerbangan Islamik yang diperkenalkan oleh Rayani Air, selagi ia tidak ‘dipaksakan’ ke atas orang bukan Islam, maka ia tidak perlu dijadikan isu.

Sepatutnya, kebimbangan anda selaku penumpang harus bertumpu kepada kualiti dan taraf perkhidmatan krew serta penerbangan. Malah jika konsep agama itu tidak memberi keselesaan, andakan ada pilihan!

Saya sendiri tiada isu dengan konsep itu; tiada alkohol, makanan halal, krew berpakaian sopan, menggunakan sistem kewangan tanpa faedah yang mengikut syariat Islam, semuanya saya alu-alukannya kerana bagi saya ia bukan isu agama tetapi moral.

Okay, satu lagi isu yang dimainkan oleh semua khususnya yang beragama Islam pula ialah mempertikai pemilik syarikat penerbangan itu, yakni sepasang suami isteri beragama Hindu, Ravi Alagendran dan Karthiyani Govindan .

Apabila sekeping gambar pasangan Hindu ini melakukan pooja (puja) di kuil tersebar, ada yang mempersoal niat mereka memperkenalkan penerbangan patuh syariah (sharia-compliant).

Seorang rakan Facebook yang enggan saya namakan berkongsi status (yang kemudian dipadam), mempersoal tujuan bukan Islam memperkenalkan penerbangan Islamik dan sebab semua orang memuji tindakan itu.

Berbunyi rasis namun ramai pula yang menyindirnya kembali dengan menulis: “Usaha yang baik tidak kiralah siapapun yang memperkenalkannya. Yang penting, niat’.

“Semoga pasangan ini mendapat hidayah,” antara respon yang diberikan kebanyakan rakannya.

Mungkin saudara itu kurang faham, di sebalik pelbagai rungutan dan aduan terhadap syarikat penerbangan, termasuk syarikat nasional Malaysia Airlines yang menghidangkan alkohol dan krewnya berpakaian ketat, apa salahnya jika seseorang memperkenalkan sistem yang menyelesakan khususnya orang Islam?

Mungkin juga saudara itu juga kurang arif tentang kemahiran perniagaan. Apa yang cuba dilakukan oleh Rayani Air hanya memberikan alternatif bagi perkhidmatan pengangkutan yang selama ini menjadi tanda soal. Bagi saya pasangan ini hanya cuba mempelopori ‘market’ yang belum dicuba di negara ini, pasaran mesra-Islam.

Jika kuat sangat kebencian terhadap pasangan ini, saya ajak pembaca supaya berfikir dua kali. Ini kerana institusi kewangan antarabangsa juga memperkenalkan kemudahan perbankan Islamik yang bukan semuanya milik orang Islam.

Tiada ulasan: