Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) menafikan laporan akhbar kononnya seramai 250 juruterbang Boeing 777-200ER bakal kehilangan pekerjaan pada 2016.
“Peluang untuk dipinjamkan kepada syarikat penerbangan yang lain adalah secara sukarela untuk juruterbang secara individu dan tiada juruterbang pesawat 777 diminta untuk meninggalkan syarikat penerbangan itu,” kata MAS dalam satu kenyataan hari ini.
MAS pada masa sama menyifatkan langkah rasionalisasi rangkaiannya yang menyaksikan pengurangan kapasiti dan penggantungan penerbangan ke destinasi terpilih akan memberi kesan kepada keperluan juruterbang.
Akhbar Kosmo hari ini melaporkan seramai 250 juruterbang Boeing 777-200ER MAS bakal kehilangan pekerjaan apabila syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) membatalkan laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Amsterdam, Belanda dan Paris, Perancis bermula 27 Januari depan.
Menurut akhbar itu, sebahagian daripada juruterbang terbabit sudah pun diberi tawaran cuti tanpa gaji selama 2 tahun.
Difahamkan, MAB membatalkan laluan penerbangan ke 2 destinasi berkenaan yang dianggap merugikan mulai tahun depan selepas memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat penerbangan Emiriyah Arab Bersatu, Emirates, 2 Disember lalu.
Mengikut perjanjian itu, penumpang MAS boleh menggunakan pesawat Emirates untuk penerbangan ke Amsterdam dan Paris, manakala MAS menawarkan penumpang bagi penerbangan rantau Asia Pasifik kepada Emirates.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan