KUALA LUMPUR,  Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan disarankan agar berdiam diri dan berhenti mengguris perasaan rakyat Malaysia.


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menyampaikan saranan itu ekoran kenyataan Ahmad yang baru-baru ini meminta rakyat untuk melakukan dua kerja bagi menampung kenaikan kos sara hidup.

“Kami syorkan mana-mana menteri, seperti Ahmad Maslan, jika tidak dapat menyumbang idea atau mengeluarkan polisi yang benar-benar membantu rakyat, baiklah mendiamkan diri daripada menyakitkan hati.

“Cadangan menteri ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sendiri mengakui bahawa isu kenaikan kos sara hidup adalah sesuatu perkara yang serius, dan mereka juga sudah ketandusan idea untuk menangani isu ini.

“Bukan sahaja cadangan itu tidak konstruktif sebagai satu kaedah penyelasaian daripada pucuk pimpinan negara, malah ia merupakan penghinaan kepada rakyat yang semakin tertekan menghadapi realiti kehidupan masa kini yang sudah cukup membebankan,” katanya melalui satu kenyataan yang diedarkan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Ahmad yang mengundang banyak kritikan.
Cadangan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu dilihat Nik Nazmi sebagai bukti kegagalan kerajaan dalam mengurus ekonomi negara.

“Sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) benar-benar percaya menjawat dua pekerjaan sebagai sebuah jalan penyelesaian, ini juga bukti bahawa kerajaan negara ini sudah gagal di dalam menguruskan ekonomi dengan baik sehinggakan rakyat terpaksa memikul bebanan yang lebih.

“Beliau juga ada menyenaraikan jawatan-jawatan yang disandang beliau di dalam parti Umno dan pentadbiran negara sebagai contoh mengamalkan #2kerja, tetapi ia hanya membuktikan bahawa menteri-menteri negara ini langsung tidak dapat membezakan jawatan yang dipegang dengan pekerjaan yang dibuat oleh rakyat biasa,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu lagi.

Sebelum ini, Ahmad Maslan membidas kritikan terhadapnya mengenai isu dua kerja dengan menyatakan bahawa beliau sendiri melakukan tiga pekerjaan di dalam parti.

Kenyataan itu dibuat menerusi laman sosial Twitternya yang menjelaskan bahawa beliau juga melakukan tiga pekerjaan untuk menampun kos sara hidup yang tinggi.