HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Januari 2015

'Bencana banjir Kelantan amaran dari Allah'

Oleh Nurshakira Buang
Post Pic



SHAH ALAM: Bencana banjir di Kelantan Disember lalu adalah amaran dari Allah bagi masyarakat Melayu-Islam supaya mempertahankan diri dan maruah mereka, kata seorang wakil rakyat Umno dalam satu wacana bersama PAS di sini hari ini.

Sambil bersetuju dengan kenyataan tokoh PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, ADUN Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, banjir yang menyaksikan 200,000 orang dipindahkan adalah amaran dari Allah.

“Pada pendapat saya, ini adalah peluang terbaik untuk kita orang Melayu-Islam sedar.

"Jika Dia (Allah) sudah menghantar mesej (amaran) sebegini tetapi kita masih gagal mencari jalan penyelesaian dengan mempertahankan martabat kita sebagai Melayu, saya fikir Allah mungkin akan menguji kita sekali lagi,” tambahnya.

Setiausaha Barisan Nasional Kelantan itu memberitahu demikian di wacana 'Kelantan Pasca Banjir: Bicara Hati ke Hati Pas, Umno bangunkan semula Kelantan' anjuran akhbar Sinar Harian.

Malah, katanya perbezaan ideologi parti tidak menghalang PAS dan Umno daripada bekerjasama memulihkan Kelantan selepas banjir.

Namun, apa yang penting kini adalah kepentingan rakyat di negeri itu yang dahagakan pembangunan sekali gus membaiki segala kerosakan selepas bah besar itu, ujarnya.

“Bukan sahaja G2G, G2G patut dipertingkatkan. Semalam sayapun telah bertemu dengan perdana menteri sebelum beliau menyertai mesyuarat kabinet untuk buat program pasca banjir 29 Januari ini.  
"Saya minta tidak ada unsur politik dan PM bersetuju. Yang penting ialah rakyat Kelantan mendapat manfaat, sebab nak baiki rumah bukannya kecil," katanya

Wacana itu dimudahcara oleh bekas MP Kok Lanas, Tan Sri Abdullah Ahmad dan turut disertai penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Tiada ulasan: