Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Pemuda Umno tidak menolak kemungkinan kerajaan campuran
antara Umno dan PAS Kelantan dapat diwujudkan sekiranya kerjasama
berhubung isu banjir ini 'membuka jalan' ke arah tersebut.
Namun Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, buat masa ini
apa yang penting membantu rakyat Kelantan untuk membangunkan semula
penempatan mereka yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda
baru-baru ini.
"Bagi saya yang saya nak fokuskan (adalah) kerjasama untuk bangunkan semula negeri Kelantan.
"Jadi pembangunan negeri Kelantan itu sudah tentu perlu kerjasama
antara kerajaan Pusat dengan negeri Kelantan. Saya kira kerajaan Pusat
tiada masalah untuk bantu, saya difahamkan antara bajet yang diumumkan
baru-baru ini RM500 juta (untuk Kelantan).
"Saya kira cadangan Sinar Harian itu peringkat yang kedua. Saya yakin
kerajaan campuran ini boleh terhasil dengan kerjasama positif di
peringkat permulaan.
"Ia sewajarnya merentasi fahaman politik, itu yang perlu kita bina
sekarang. Rentetan dari kejayaan ini, mudah-mudahan bila ada kerjasama
yang positif diantara mereka baru kita boleh berbicara mengenai kerajaan
campuran. ," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan oleh penerbit akhbar
Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacob agar PAS dan Umno bersatu dalam
menangani isu banjir di Kelantan.
Katanya, kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri untuk membantu
rakyat sudahpun bermula walau tidak melalui kerjasana kerajaan campuran.
Akhbar tersebut turut mengutip kenyataan pengerusi BN Kelantan Datuk
Seri Mustapa Mohamed yang berkata, kerjasama “kerajaan campuran” di
antara BN dan PAS itu telah dilaksanakan.
Katanya ia boleh dilihat dalam beberapa urusan terutama dalam menangani bencana banjir ketika ini.
Tambah Fathul lagi, sekiranya kerjasama yang sedang berjalan ini tidak
berlangsung dengan baik, maka hasrat ramai pihak itu mungkin belum tiba
masanya lagi.
"Tanpa kerjasama positif di permulaan, usah bicaralah mengenai kerajaan
campuran. Dalam tempoh ini masing-masing berbicara isu soal mangsa
banjir, bantuan dan sebagainya," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan