HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Januari 2015

Jangan pertikai komitmen Anwar menentang Daim, kata Pemuda PKR kepada ahli Parlimen DAP

THE MALAYSIAN INSIDER


  


























Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) menegur tindakan Ahli Parlimen DAP-Raub, Ariff Sabri Abdul Aziz yang mempertikaikan tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Nik Nazmi berkata, Anwar konsisten menyatakan pendiriannya terhadap dakwaan rasuah Daim sejak 1998 lagi.

"Beliau mungkin nampak bersungguh dalam menawarkan diri memberi maklumat berkenaan kes Daim, namun jangan dilupakan beliau juga tegas menyatakan pendirian dan sikap terhadap pentadbiran di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang lain sejak zaman Dr Mahathir lagi.


"Malah, sejak 1998 sehingga hari ini Anwar konsisten menyatakan pendiriannya terhadap dakwaan rasuah terhadap Daim. "Saya yakin, sebagai sahabat Daim, Ariff sendiri sedar perkara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ariff dalam tulisan blognya, Sakmongkol AK47 pada 20 Januari lalu mempersoalkan tindakan
Anwar yang seakan membantu kelangsungan politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan menentang Daim secara terbuka dan disiarkan di media milik Umno, TV3.

Beliau turut beranggapan tindakan Anwar itu mungkin mahu menyelamatkan dirinya daripada risiko dikenakan hukuman penjara kes Liwat II dengan berbuat baik terhadap Najib.

Anwar sebelum ini menyatakan kerjasamanya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mahu membuka kertas siasatan terhadap Daim.

"Jika mereka tanyakan saya, saya akan bekerjasama, tiada masalah. Itu tanggungjawab saya membantu siasatan. Tapi mereka perlu bersikap profesional," katanya.

Beliau yang mendakwa mempunyai “bukti” penyalahgunaan kuasa Daim berharap SPRM tidak hanya menyasarkan kepada siasatan perniagaan perbankan Daim semata-mata.

15 tahun lepas, Anwar membuat laporan menuduh Daim mengaut berbilion ringgit melalui Bank Africa dan Eropah Timur menggunakan proksi.

Exco Selangor itu berkata, sebagai ahli politik dan penganalisis isu semasa yang cekap, Ariff Sabri perlu sedar komitmen Anwar kepada usaha mereformasi politik negara, menjatuhkan BN dan mengeratkan hubungan antara parti pembangkang tidak wajar dipersoalkan lagi.

Katanya, perkara sama juga berlaku sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menguasai Putrajaya, kepincangan Daim serta bekas pemimpin kerajaan lain akan didedahkan juga dan perkara ini amat ditakuti sesetengah pencatur politik seperti Daim.

"Berkaitan keputusan mahkamah, saya fikir kita semua jelas ia adalah fitnah jahat yang sengaja dibuat utuk menyekat kemaraan beliau dalam politik.

"Ini bukan serangan terakhir dan satu-satunya dakwaan yang akan dihadapkan kepada beliau," katanya.

Ariff dalam tulisan terbarunya hari ini mempertahankan pandangannya selepas mendapat kritikan rakan dalam PR sendiri, apabila khuatir tindakan Anwar menolong Najib sekarang seperti menunggang harimau.

Katanya, karakter Najib ialah ketika lemah beliau akan menggunakan sesiapa sahaja, dan akan menyerang semua musuhnya apabila kuat, termasuk menzalimi Anwar dan PR.

"Sebab saya faham Najib itulah saya merasakan biarkan ‘kuasa pasaran’ menentukan masa depan Najib.

"Najib lemah buat sementara ini sahaja. Dia tidak boleh do battle dengan tentera Mahathir dan Daim kerana dia banyak sangat tengkorak peribadi dalam almari.

"Sebaik sahaja ancaman terhadapnya diketepikan, dia akan membaham orang lain," katanya.

Tiada ulasan: