Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Anggaran kos kerosakan akibat banjir akibat banjir teruk di beberapa negeri di Pantai Timur belum dapat ditentukan buat masa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan belum mendapat laporan lengkap mengenainya.
“Di peringkat ini sukar untuk kita anggarkan kerana belum ada maklumat lengkap.

“Banyak data yang perlu kita kumpul sebelum dapat anggar kerugian sebenar akibat banjir,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di ibu pejabat Tenaga Nasional Bhd (TNB), di sini, semalam.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan memberi jaminan bekalan elektrik di negeri terjejas banjir akan dipulihkan secepat mungkin dan beliau berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil TNB untuk menyegerakan penyaluran bekalan elektrik.

“Sehingga esok (hari ini) dijangka hampir 60 peratus kawasan terjejas di Kelantan akan dapat bekalan elektrik. Manakala, di Terengganu pula sudah hampir 90 peratus.

“Kecuali di Pahang kerana ada kawasan yang masih dinaiki air. Maka daerah di sana perlu tunggu lama sedikit untuk dapat bekalan elektrik,” katanya.

Katanya, sebagai langkah penambahbaikan, beliau telah mengarahkan agar bekalan set generator elektrik dihantar lebih awal ke pusat pemindahan sebelum banjir berlaku.
“Pada masa hadapan, lebih baik kita ambil langkah awal dan berjaga-jaga. Jika kita tahu sesuatu kawasan itu mudah dilanda banjir, set generator itu perlu dihantar awal.

“Kalau air sudah naik, kita tidak dapat hantar kerana kawasan itu tidak dapat dilalui. Bantuan awal ini bukan saja melibatkan bekalan elektrik, tetapi juga makanan dan sebagainya,” katanya.