Mohd Firdaus (kanan) yang menyamar sebagai kerabat Diraja Johor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam. Mohd Firdaus (kanan) yang menyamar sebagai kerabat Diraja Johor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.
 
 
JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori yang menyamar sebagai kerabat Diraja Johor dikenakan penjara sembilan tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam selepas mengaku bersalah atas 16 dakwaan memperdaya lima individu hingga menyebabkan kerugian hampir RM70,000.

Dalam sembilan pertuduhan pertama, tertuduh, Mohd Firdaus Abdullah, 28 yang mengaku sebagai Tengku Putra Raja Sulaiman didakwa memperdaya Eisah Sulaiman, 61 antara tempoh 17 April hingga 10 September agar menyerahkan wang berjumlah RM32,080 bagi membantunya mendapatkan bantuan warga emas dari pihak istana.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Firdaus mengaku bersalah ketika kesemua tuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara setahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang dijalankan berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap pada kelmarin.

Sementara itu, dia turut dikenakan tujuh lagi dakwaan mengikut seksyen sama di Mahkamah Majistret berasingan kerana didapati memperdaya empat individu berlainan.

Dia dikenakan tiga pendakwaan kerana menipu Kamal Khairi Sulaiman, 29, dalam tempoh September dengan mendakwa ingin menjual dua buah kereta terpakai dan sebidang tanah serta memperdaya mangsa menyerahkan wang berjumlah RM4,950.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut dikenakan dua dakwaan kerana menipu Rogayah Sulaiman, 54 dengan memperdaya mangsa menyerahkan wang berjumlah RM30,150 untuk membantunya mendapatkan bantuan ibu tunggal dan geran tanah dari pihak istana Johor.

Sementara itu dia turut didakwa menipu Mohd Hafiz Abdol Hadi, 31 pada 3 Oktober lalu dengan mendakwa ingin menjual sebuah rumah pada harga murah dan mendorong mangsa menyerahkan wang RM700 kepadanya.

Dalam pendakwaan terakhir, Mohd Firdaus didakwa memperdaya Mohd Afandi Zakaria pada 10 Disember lalu dengan memperdaya mangsa agar mempercayai bahawa dia boleh membantunya mendapatkan sebuah rumah kos rendah dan mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM1,350.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Chan Lee Lee dihadapan Majistret Salina Omar.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap dengan satu sebatan bagi setiap dakwaan.