HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Januari 2015

MB: Sampai masa negeri PR erat kerjasama dengan negeri BN, Persekutuan

Oleh: NAZLI IBRAHIM


KUANTAN: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) disaran mengukuhkan hubungan dengan Kerajaan Persekutan dan juga negeri lain yang diterajui Barisan Nasional (BN) bagi menyuburkan prinsip dan amalan demokrasi yang baik dalam negara.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi kepentingan rakyat dalam pelbagai isu seperti kemanusiaan, ekonomi dan pendidikan.

“Saya pernah menyatakan dalam ucapan dasar ketika merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) setahun lalu, bahawa sudah sampai masanya PR sebagai sebuah parti yang cukup dominan dalam arus politik di Malaysia khususnya di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor memulakan usaha serta pendekatan temu tembung dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri lain di Malaysia khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan isu sosial bagi kepentingan rakyat.

IMG-20141230-WA0012“Maka, Kerajaan Negeri juga khususnya Selangor yang mencatatkan prestasi kewangan dan ekonomi yang baik harus menunjukkan sikap pro-aktif, bukan sahaja kepada rakyat negeri ini sahaja tetapi menunjukkan ihsan dan simpati kita kepada rakyat di negeri lain.

“Kalau kita menunjukkan contoh teladan kepimpinan yang positif ini, ia boleh menyuburkan prinsip dan amalan demokrasi yang baik dalam negara,” katanya kepada Selangor Kini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab menurunkan bantuan kewangan kepada negeri terlibat ekoran kejadian bencana alam yang teruk itu.

“Dalam konteks senario hari ini, yang mana beberapa negeri mengalami bencana banjir agak parah dalam tempoh begitu panjang, saya kira Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab untuk segera menurunkan bantuan kewangan bagi membangunkan semula kawasan yang terlibat khususnya di Kelantan, Terengganu dan sebahagian Pahang kerana skala kemusnahan begitu parah dan rumah musnah, bahkan ada yang hanyut.

pahang“Saya kira Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab untuk bersama dengan Kerajaan Negeri. Di samping itu, saya menggesa Kerajaan Persekutuan adakan langkah jangka panjang untuk menangani isu banjir khususnya sistem peparitan, sungai perlu didalamkan dan dilebarkan kerana memberi kesan positif berulangnya kejadian banjir dan juga persediaan menghadapi banjir,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Azmin mengumumkan untuk menghulurkan sumbangan kewangan kepada Kerajaan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak bagi membantu rakyat negeri terbabit menghadapi kesan kemusnahan akibat banjir.

Mohamed Azmin juga mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor ke negeri terlibat bagi menjalankan kerja pembersihan pasca banjir.-NFN-

Tiada ulasan: