Fadillah Yusof Fadillah Yusof
 
 
GERIK - Kerajaan Pusat memperuntukkan RM96 juta untuk memperbaiki 93 cerun runtuh di jalan-jalan persekutuan akibat banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Menteri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini berkata, bajet tersebut meliputi pembaikan jangka panjang berjumlah RM86 juta dan pembaikan jangka pendek RM10 juta.
  
Anggaran kos pembaikan di Kelantan adalah sebanyak RM42 juta, di Terengganu RM35 juta, di Perak RM11 juta, dan di Pahang RM7 juta, katanya kepada pemberita semasa melawat kawasan cerun runtuh di KM69 Lebuh raya Timur-Barat di sini, hari ini

Katanya, pembaikan jangka pendek melibatkan antaranya pembinaan jalan lencongan sementara dan pembersihan runtuhan yang mengambil masa dua hingga tiga minggu lagi.
  
Pembaikan jangka panjang pula melibatkan pembinaan semula cerun dijangka siap dalam tempoh tiga hingga 24 bulan lagi.
  
Fadillah meminta pengguna jalan raya khususnya pasukan sukarelawan yang ingin menghantar bantuan ke kawasan-kawasan banjir supaya mendapatkan maklumat lalu lintas termasuk laluan-laluan yang ditutup melalui laman Facebook dan twitter serta portal bencana JKR Malaysia.
  
Beliau juga berkata, Jalan Raya Timur Barat atau lebih dikenali Lebuh raya Timur-Barat Gerik-Jeli yang ditutup akibat beberapa runtuhan cerun sejak dua minggu lalu dijangka dibuka semula pada 7 Januari ini setelah laluan lencongan sementara siap  dibina.
  
Katanya, kerja-kerja pembaikan runtuhan dan pembinaan jalan lencongan sementara di KM69, KM79 dan KM83 sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada 3 Januari.
  
"Selepas itu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsensi akan menjalankan pemantauan dan audit keselamatan untuk memastikan jalan lencongan sementara betul-betul selamat kepada semua kenderaan.
  
"Kita jangkakan ia akan dibuka semula pada 7 Januari, namun kerja-kerja yang dijalankan ini juga bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.
  
Kejadian cerun runtuh pada 23 Disember lepas di KM69 iaitu kira-kira 73km dari bandar ini mengakibatkan sebuah lori yang membawa muatan ayam dan sebuah kereta jatuh ke dalam gaung. - Bernama