LEPAS Melayu dikatakan akan jadi Red Indian di negeri sendiri, seperti kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Hamid Mohamad, Melayu dikatakan sedang mengemis kuasa di negara sendiri daripada kaum-kaum lain seperti kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir.
Demikian buruknya nasib orang Melayu selepas 57 tahun merdeka mengikut pengamatan dua orang Tun Melayu yang bersara, satu daripada ketua hakim negara dan satu lagi daripada ketua kerajaan negara. Kedua-duanya seolah-oleh mengira kepercayaan Hang Tuah Melayu tak akan hilang di dunia tidak mungkin relevan lagi.
Celaka yang dikatakan itu adalah gara-gara wujudnya perpecahan orang Melayu antara PAS dan Umno. Ertinya buruk benar adanya di dunia ini PAS dan Umno. Yang eloknya biar jangan ada Umno dan PAS dalam dunia, nescaya tidaklah Melayu jadi Red Indian dan tidaklah ia jadi bangsa pengemis kuasa dalam negara sendiri.
Saya tidak bercadang untuk melonggokkan dilema orang Melayu itu kepada Inggeris yang merencanakan keadaan itu, warisan peninggalan Mat Saleh itu cuba dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh orang politik supaya orang Melayu itu tidak habis langsung.
Jika yang ditelah oleh dua Tun itu adalah hakikat yang sebenar, ia adalah tepat bagi yang dirancang oleh British. Muafakat yang disyorkan oleh British itu diperkenan Umno pertama demi kepinginnya akan kemerdekaan mudah dan kedua bagi memastikan Umno berkuasa terus selagi ada bulan bintang tidak kira kemerdekaan itu adalah kemerdekaan atau merdeka tiga suku bagi orang Melayu.
Tahaluf yang Umno setujui itu tidaklah syarat sebenar untuk kemerdekaan kerana Briitish yang meluluskan piagam PBB tahu ia mesti pergi tidak kira kemerdekaan itu dituntut atau tidak. Brunei Darussalam yang tidak minta merdeka pun diberinya merdeka, tiada apa sebab ia hendak kekal di Tanah Melayu hingga kiamat. Tetapi kalau Umno terima dalih British itu banyaklah untungnya.
Tetapi tidaklah tahaluf tajaan Inggeris yang Umno terima itu satu tindakan mengemis kuasa daripada orang lain, bahkan bagi menjamin ia boleh tumpang berkuasa selama-lamanya.
Jika ia tidak buat tahaluf itu ia akan hilang menenggek kuasa, kerana takutkan ancaman PAS yang lebih celik politik daripadanya yang diyakini oleh semua termasuk British adalah kuasa sebenar bagi Melayu dan Islam di wilayah ini.
PAS baru ada ketika Umno mengadakan tahaluf dengan MCA dan MIC bagi menghadapi pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur tahun 1953. Ia tidak besar. Tetapi British dan Umno tahu ancaman Hizbul Muslimin sekalipun hidup empat bulan saja tahun 1948, tetapi ia menggerhanakan Umno dan PKMM yang jadi politik induknya.
Sambutan Melayu terhadap Hizbul Muslimin luar biasa. British dan Umno sama-sama bimbang. Justeru adanya ancaman gerakan bersenjata komunis, British/Umno mengambil kesempatan mengisytiharkan darurat, mengharamkan semua parti politik kecuali Umno. Darurat itu adalah untuk menghalang kemunculan gerakan Islam itu sebagai kuasa politik berpotensi di Malaya.
British/Umno tahu Hizbul Muslimin yang mati akan berganti. Apabila lahir PAS tahun 1941, cepat-cepat Inggeris nasihatkan Umno bertahaluf bagi memastikan ia kekal berkuasa selepas merdeka.
Adapun PAS yang melihat kemerdekaan separuh masak atau tiga suku dari British itu, justeru terpaksa diterima, terpaksa menghadapinya supaya keburukan kemerdekaan seperti itu dapat disekat atau dikurangkan supaya Melayu tidak jadi Red Indian atau mengemis kuasa dalam negeri sendiri.
Jika PAS pula ada tahalufnya, ia adalah demi mengelakkan Melayu jadi Red Indian lebih cepat dan bagi memastikan ia tidak jadi pengemis tetapi menjadi rakan kongsi bagi rakyat Malaysia. Dari hilang semua biarlah jangan hilang semua
Tiada ulasan:
Catat Ulasan