Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah
 
 
SHAH ALAM - Kementerian Kewangan menafikan Kerajaan Persekutuan tidak memberi keutamaan kepada bantuan bencana negara dan menyediakan RM9.3 juta untuk peruntukan pengurusan bencana dalam Bajet 2015 lalu.

Dakwaan itu dibuat Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah berkata, jumlah peruntukan RM9.3 juta yang dirujuk Salahuddin itu, sebenarnya peruntukan belanja mengurus yang disediakan untuk membiayai kos pengurusan Bahagian Bencana Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pembayaran gaji dan elaun kakitangan.

"Ditegaskan, dana menghadapi bencana telah disediakan d ibawah Kumpulan Wang Amanah Tabung Bantuan Bencana Negara yang diuruskan oleh MKN.

"Untuk makluman, baki tabung ini pada 15 Disember 2014 (sebelum banjir berlaku) RM217 juta. Di dalam Bajet 2015, kerajaan telah menyediakan peruntukan RM70 juta sebagai tambahan ke dalam tabung tersebut," katanya.

Malah katanya, bagi membantu mangsa banjir kali ini, di samping dana sedia ada yang disediakan tabung dikelolakan MKN, Kementerian Kewangan menyalurkan peruntukan khas melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan sebanyak RM50 juta pada 24 Disember lalu dan ia itu dikendalikan Pejabat Pembangunan Negeri.

"Selanjutnya, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pada 27 Disember nmeluluskan tambahan dana RM500 juta," katanya.