MALAYSIAKINI
Taksiran kemusnahan infrastruktur dan aset awam akibat banjir buruk yang
melanda Kelantan dianggarkan lebih RM200 juta setakat ini, kata
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa
Mohamed.
Beliau berkata nilai sebenar kemusnahan hanya akan diketahui selepas
bencana itu berakhir dan ia dijangka lebih besar setelah semua agensi
berkaitan mengemukakan laporan masing-masing.
"Kita
semalam dapat gambaran tapi tak lengkap di seluruh Kelantan iaitu
antara lain Jabatan Kerja Raya kata RM100 juta," katanya pada sidang
akhbar di Pusat Media Bencana Banjir di Kota Baharu hari ini.
Selain itu, Tenaga Nasional Berhad mengunjurkan anggaran kerosakan di
seluruh negeri bernilai RM10 juta, Polis Diraja Malaysia (RM8 juta),
Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (RM3 juta) manakala Jabatan Kesihatan
Kelantan menganggarkan nilai kerosakan RM10 juta di Kota Baharu sahaja.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
berkata kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan bersama-sama membuat
pengumpulan maklumat lengkap dan sekarang dalam proses mendaftar aset
yang rosak.
Mustapa berkata jawatankuasa itu akan turut mengumpul segala butiran mangsa banjir sambil mengakui ia tugas yang mencabar.
Menurutnya, jawatankuasa itu telah mendengar beberapa cadangan pasca
banjir oleh beberapa pihak termasuk oleh Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi mengenai pembinaan rumah sementara kepada mangsa banjir.
"Kementerian itu mencadangkan pembinaan rumah kluster seperti dibuat di
Jepun yang boleh menempatkan 48 keluarga di setiap rumah," katanya
sambil menambah penempatan sementara menjadi satu keutamaan buat
kerajaan.
Beliau berkata bancian awal menunjukkan 516 rumah di Gua Musang dan 38
di Machang musnah sama sekali dan jawatankuasa itu akan mengambil
langkah segera membantu keluarga terlibat.
Mustapa menjelaskan dalam tempoh seminggu ini, 91 pusat pemindahan di
sekolah masih boleh digunakan tetapi bila sekolah dibuka di negeri ini
mulai 11 Jan, mangsa yang mengalami kemusnahan atau kerosakan rumah akan
ditempatkan di khemah sementara di bawah pengurusan Majlis Keselamatan
Negara.
Selain itu, beliau berkata setakat ini 70 peratus bekalan elektrik telah
pulih dan ia dijangka pulih sepenuhnya Ahad ini manakala bekalan air
bersih yang diuruskan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd kini sudah hampir 60
peratus pulih.
Mustapa turut berkata stok makanan di tiga depoh makanan utama di Lapan
Briged Infantri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kedua-duanya di
Pengkalan Chepa, dan Ibu Pejabat Polis Machang kini semakin bertambah
hasil sumbangan orang ramai.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan