Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM: Wanita PKR melancarkan petisyen di seluruh negara bagi menuntut skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) oleh Kerajaan Persekutuan diagihkan kepada suri rumah, sempena tahun baharu 2015.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, pemberian itu wajar memandangkan wanita memainkan peranan utama dalam membuat keputusan terhadap perbelanjaan isi rumah.
Katanya, Wanita PKR juga berhasrat untuk merekrut lebih ramai wanita untuk menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.
“Menjadi harapan dengan meningkatnya penyertaan wanita dalam politik akan menjadi wakil kepada suara 52 peratus pengundi wanita yang mengundi di negara ini.
“Saya ingin menegaskan walaupun masih banyak perkara yang harus dilaksanakan, Wanita PKR berikrar untuk terus menegakkan agenda wanita iaitu kuota 30 peratus yang dipinda dan dimasukkan ke dalam perlembagaan parti tahun ini,” katanya dalam perutusan tahun baharu.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan takziah kepada hampir 250,000 orang yang terjejas akibat banjir dan ahli keluarga serta rakan penumpang anak kapal pesawat Air Asia QZ8501.
Mengulas pengurusan bencana, beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang menggesa Kerajaan Persekutuan bersikap lebih serius dan bertanggungjawab.
“Kerajaan perlu menyediakan bantuan dan kebajikan kepada mangsa banjir Malaysia yang memerlukan bantuan dan bukannya menyibukkan diri bermain golf atau pembungkusan semula barangan kepada mangsa banjir dengan menampal logo BN dan mengambil gambar untuk tujuan publisiti.
“Sebuah kerajaan yang bagus adalah prihatin mendahulukan kepentingan rakyat. PR akan berusaha untuk memberikan Malaysia sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih baik,” katanya.-NFN-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan