HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Mei 2015

Prosiding tangguh, CEO 1MDB tak dapat hadir

PAC: Prosiding 1MDB esok ditangguhkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed bercakap pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Sinar Online oleh RAZIATUL HANUM A. RAJAK
 
 
KUALA LUMPUR  - [DIKEMASKINI]  Prodising syarikat pelaburan kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan berlangsung esok terpaksa ditangguhkan susulan kedua-dua orang pentingnya mempunyai urusan di luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed‎ memaklumkan penangguhan itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Parlimen.

"Jumaat lalu, Sekretariat PAC menerima surat makluman daripada Kementerian Kewangan bahawa prosiding syarikat 1MDB pada esok terpaksa ditangguhkan.

"Ia berikutan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi tidak dapat hadir di hadapan jawatankuasa ini atas alasan mempunyai urusan di luar negara pada hari itu," katanya kepada pemberita.

Dalam sidang media sama, beliau sempat berseloroh untuk bersangka baik terhadap alasan yang dikemukakan itu.

"Kita bersangka baiklah. Mereka bekerja dengan kerajaan. Mereka tak akan lari... saya haraplah‎. Jadi, bersangka baik," katanya.

Sebelum itu, beliau menyebut bahawa CEO 1MDB meminta prosiding itu ditangguhkan kira-kira 30 hari daripada tarikh surat balasan yang dikemukan, Jumaat lalu.

"Dalam surat yang dihantar kepada MOF‎, menyebut bahawa mereka memerlukan masa untuk membuat persediaan berdepan dengan PAC dan minta PAC untuk menangguhkan prosiding lebih kurang 30 hari daripada tarikh surat yang mereka hantar.

"Kami telah bincang mengenai isu ini dan ambil ketetapan bahawa kita hendak juga Arul Kanda dan Datuk Shahrul untuk hadir berdepan dengan PAC cuma kita memberikan mereka masa mengikut surat mereka tapi kita berharap mereka akan dapat datang ke PAC secepat mungkin untuk memberikan keterangan.

"Kita juga menganggap penangguhan ini akan memberikan masa untuk mereka menyediakan segala dokumen dan maklumat yang diperlukan PAC untuk membantu siasatan kami," katanya.

Dalam pada itu, PAC akan menetapkan tarikh baru bagi prosiding itu dalam masa terdekat.

"Tak ada sebab kenapa kedua-dua CEO ini tidak boleh datang kerana mereka masih lagi bekerja dengan kerajaan (kini Shahrul berkhidmat dengan Pemandu) dan Arul Kanda masih bersama 1MDB. Walaupun PAC beri kelonggaran, kita nak mereka hadir juga dalam tempoh masa secepat mungkin.

"Kami akan tetapkan tarikh baru. Saya akan menghantar semula surat panggilan secara rasmi kepada MOF selaku Pegawai Pengawal terhadap 1MDB bagi hadir semula ddi hadapan jawatankuasa ini. Kami akan beri tempoh secukupnya kepada pengurusan 1MDB untuk bersedia hadir di hadapan jawatankuasa ini," katanya.

Tiada ulasan: