HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 September 2015

220 jemaah dikhuatiri maut, 450 cedera akibat rempuhan

MALAYSIAKINI


Lebih kurang 220 orang jemaah dikhuatiri terbunuh dan 450 lagi cedera apabila jemaah haji berempuh-rempuhan semasa mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi, hari ini.

Kejadian rempuh-rempuhan itu berlaku apabila bilangan besar jemaah berasak-asak di Mina, di luar bandaraya suci Makkah, lapor Bernama.

Lebih kurang dua juta orang kini mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi, kata pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi.

Menurut laporan Bernama lagi, kejadian itu berlaku di Street 204 di pusat perkhemahan Mina, beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum cara kemuncak musim haji bermula.

Sementara itu, wartawan Reuters di bahagian lain di Mina berkata mereka boleh mendengar bunyi siren polis dan ambulans tetapi jalan-jalan menuju ke tempat bencana itu telah disekat untuk mengelakkan dibanjiri orang ramai.

Gambar-gambar yang disiarkan di Twitter pertahanan awam menunjukkan jemaah terbaring di atas pengusung manakala pekerja penyelamat kelihatan mengangkat mereka ke dalam ambulans.

Konvoi ambulans

Ia berkata, lebih 220 ambulans dan 4,000 pekerja penyelamat telah dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

Saluran TV milik kerajaan, Al-Arabiya, menunjukkan konvoi ambulans bergerak di kawasan perkemahan Mina.

"Kerja-kerja sedang dijalankan untuk memisahkan kumpulan besar orang ramai dan jemaah ke laluan alternatif," kata pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi dalam akaun Twitter.

Khamis juga merupakan hari raya Aidiladha di mana umat Islam melakukan ibadat korban. Secara tradisinya ia merupakan hari di mana sejumlah besar jemaah cuba melaksanakan ibadat tersebut pada masa yang sama di satu lokasi.

Dua minggu lalu 110 orang terkorban di Makkah apabila kren sebuah projek pembesaran, runtuh semasa ribut dan menghempap bahagian halaman utama Masjidil Haram, dan menimpa jemaah di bawahnya..
- Bernama


Tiada ulasan: