HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 September 2015

58 tahun merdeka: Anak muda, ayuh tolak BN, selamatkan negara!



Oleh HAZMI DIBOK 


FIRMAN Allah SWT, maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebajikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat ; dan melarang daripada melakukan perbuatanperbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” (An-Nahl: 90)

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (Matrade) telah mengeluarkan nilai eksport negara bagi tempoh Januari hingga Jun 2015 telah menyusut pada nilai RM368 bilion berbanding tempoh yang sama sebanyak RM 380 bilion bagi tahun lepas Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pula pada Jun baru-baru ini meletakkan jumlah kedatangan pelancong luar ke dalam negara bagi suku pertama tahun ini berkurang sebanyak 8.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Kemerdekaan yang sebenar tidak dapat diperolehi apabila dalam diam kita dijajah sendiri oleh pemimpin bangsa.

Dasar-dasar yang sepatutnya membangunkan sosioekonomi rakyat dan mewujudkan sistem pentadbiran kerajaan yang telus dan amanah, telah dizalimi dengan taburan kekayaan yang hanya dikongsi oleh peratusan kecil golongan hartawan dan jutawan melalui jalan tipu helah dan rasuah.

Ketika wang tabung haji secara sewenang-wenangnya digunakan bagi menyelamatkan 1MDB, maka Barisan Nasional yang cuba menjadi “jaguh rakyat” patut lebih dahulu membela nasib petani dan pekebun kecil dengan membantu menstabilkan harga komoditi mentah seperti getah dan kelapa sawit yang mana Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar komoditi terbabit dan hasil ini jualah yang menjadi lapikan perut sumber rezeki warga miskin di desa.

Kejatuhan nilai matawang ringgit pada hari ini akan lebih membebankan rakyat. Susut nilai ringgit ini mengakibatkan kenaikan harga barang terutamanya beras. Sumber Fama menunjukkan Malaysia mengimport lebih dari 30 peratus beras bagi menampung keperluan dalam negara. Secara purata Malaysia mengimport 600,000 hingga 700,000 tan metrik beras dari negara jiran Thailand dan Vietnam.

Kemerosotan ekonomi ini akan membawa kepada kenaikan kos sara hidup bagi rakyat Malaysia terutamanya bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Apatah lagi kebanyakannya adalah daripada kalangan anak muda yang dibebani dengan hutang kereta dan rumah. Jika kos sara hidup ini terus meningkat, kuasa membeli rakyat akan berkurang dan akan memberi tekanan hidup kepada rakyat amnya.

Jelas sekali tema “Sehati Sejiwa” bagi sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang diumumkan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Razak hanyalah omongan dan retorik kosong yang sebenarnya tidak memberi makna yang tepat terhadap apa yang berlaku pada rakyat bawahan. Dengan kacau bilau dalam siasatan kes 1MDB oleh PAC dan SPRM, ternyata masa depan negara terus muram, meruncing dan terancam.

Ayuh anak muda! Kita bangkit atas rasa cinta pada agama, bangsa dan negara. Lakukan perubahan secara bijaksana melalui seluruh saluran aman yang ada. Demi masa depan kita, bersiap siagalah untuk mengubah kepimpinan negara melalui saluran demokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang mendatang. Anak muda, anda mampu mengubahnya!

Tiada ulasan: