HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 September 2015

Ada batas kemuka perbezaan pandangan - Dewan Ulamak PAS

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Dewan Ulama PAS hari ini memandang serius insiden memijak gambar Presiden parti itu yang menjadi viral di media sosial.
 
Menurut ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed biarpun ia hanya insiden kecil, sayap parti itu bertegas bahawa insiden ini mampu memberi impak negatif kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Insiden ini meskipun kecil dalam satu himpunan besar seperti Bersih dan diperlakukan oleh mungkin anak-anak muda yang agak beremosi mengajak kita para pemimpin utama politik untuk menilai pendekatan dan batasan masing-masing dalam mengemukakan perbezaan pandangan dan pendapat termasuk dalam berpolitik.
 
"Penghinaan kepada mana-mana pemimpin utama parti politik boleh mengundang reaksi balas yang tidak dapat dijangka. Akhirnya ia boleh membawa kepada pertembungan yang lebih buruk terhadap keharmonian bermasyarakat", katanya dalam satu kenyataan.
 
Gambar yang dihasil menggunakan teknik 'superimpose' itu memaparkan Abdul Hadi dan Najib seolah-olah sedang berpelukan menjadi tumpuan apabila dipijak peserta Bersih 4.0 pada Ahad lalu.
 
"Penghinaan peribadi perlu ditolak dalam amalan berpolitik di negara ini kerana ia merupakan politik emosi dan nafsu. Apa yang perlu dikembangkan sebagai gantinya ialah politik ilmu dan politik hujah", katanya lagi.
 
Semalam Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana tindakan itu dilihat telah menghina Abdul Hadi.
 
PAS dalam pada itu kesal terhadap tindakan peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 yang didakwa memijak gambar Abdul Hadi pada hari terakhir Perhimpunan Bersih yang diadakan di perkarangan Datatan Merdeka.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, Nazmi Nik Din meyifatkan tindakan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi sebagai perbuatan biadap dan perlu diambil tindakan segera.
 
"Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan memberi amaran agar jangan melampaui batas dalam perbezaan pandangan."
 
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun individu (peserta Bersih 4.0) yang memijak berulang kali imej Timbalan Presiden Ulamak Sedunia (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kerana ianya juga merupakan penghinaan kepada institusi ulamak yang menjadi rujukan umat Islam", katanya.
 
Justeru, beliau meminta agar Pengerusi Bersih 4.0 Maria Chin Abdullah segera memberikan penjelasan mengenai insiden berkenaan.
 
"Kami memdesak supaya penganjur Bersih 4.0 memberikan penjelasan dan individu yang terlibat diheret ke muka pengadilan kerana ianya boleh mencetuskan perbalahan agama dan kaum memandangkan Tuan Guru Presiden PAS bukan sahaja tokoh agama di Malaysia bahkan diperingkat antarabangsa", katanya.
 
 

Tiada ulasan: