Oleh Timmy Say
Semua tahu, orang yang paling tidak menyukai demonstrasi jalanan ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.Apa yang pernah disebut beliau mengenai demonstrasi ketika zaman Reformasi, Bersih 1,
Bersih 2 dan Bersih 3 masih pedas di telinga.Namun, seperti di politik di mana tiada musuh dan kawan yang kekal, permusuhan Dr M terhadap demonstrasi akhirnya berakhir kerana permusuhannya dengan Datuk Seri Najib Razak.
Bahkan persahabatan Dr M dengan demonstrasi bermula dengan rancak dengan kehadiran beliau sebanyak 2 kali.
Kehadiran Dr M akan menjadi topik utama Bersih 4. Boleh dikatakan seluruh Bersih 4 “dihijack” Dr M. Beliau ialah satu-satunya orang Umno yang menghadiri Bersih 4 sebanyak 2 kali.
Kehadiran Dr M membawa seribu satu bacaan politik. Beliau hadir tanpa memakai apa-apa berwarna kuning – menandakan beliau tidak mahu dikaitkan dengan Bersih. Beliau hanya mahu bersama rakyat yang menuntut Najib meletak jawatan.
Kehadiran Dr M juga menggagalkan sebarang usaha tersembunyi untuk memukul Bersih 4 kerana kehadiran kaum yang tidak sekata. Dr M membawa lambang Melayu yang dikatakan hilang daripada Bersih 4.
Dr M kini memahami betapa sukarnya untuk mengalahkan sistem demokrasi yang dibinanya sendiri. Bukan sahaja parti memerintah yang bermasalah susah ditumbangkan malah pemimpin bermasalah pun susah ditumbangkan.
Itu hebatnya sistem pertahanan untuk melindungi Umno yang dibina Dr M, sehinggakan penciptanya sendiri gagal menembusinya.
Dari sudut ini, Najib perlu berterima kasih kepada Dr M. Tanpa sistem pertahanan ini, pasti Najib sudah lama tersungkur dalam isu derma RM2.6 bilion.
Keinginan Dr M melihat Najib diturunkan jauh melebihi egonya sendiri, yang sudah berumur 90 tahun. Mahu tidak mahu, menghadiri demonstrasi jalanan adalah satu langkah besar bagi Dr M, jauh melebihi tindakannya keluar
Umno ketika ingin menjatuhkan Tun Abdullah Badawi.
Ironinya, kehadiran beliau tidak lain tidak bukan hanyalah kerana beliau kini kebuntuan dalam mencari formula untuk menembusi sistem pertahanan yang diciptanya.
Melihat dan merasai sambutan terhadapnya di Bersih 4, Dr M tahu orang bukan Melayu sudah bersamanya dalam perjuangannya menurunkan Najib. Namun, lautan kuning belum cukup lagi untuk meruntuhkan sistem pertahanan ciptaan Dr M.
Apakah Dr M akan hadir mengejut di Kongres Rakyat pada 12 September ini – satu lagi wadah yang bakal didominasi oleh komposisi rakyat yang menuntut perubahan menggunakan pendekatan lain – untuk terus meneroka formula sesuai untuk menembusi sistem pertahanan yang diciptanya yang kini melindungi Najib daripada sebarang bahaya?
Bagaimana pula dengan pembangkang? Mahu tidak mahu kehadiran di Bersih 4 menyedarkan semua mengenai realiti kekuatan yang ada pada PAS di Bersih 1, 2 dan 3. Cukuplah dengan mainan persepsi yang parti baharu dapat menggantikan PAS jika ia sekadar mampu memecahkan undi PAS dan bukannya Umno.
Pembangkang yang berpecah tidak menguntungkan sesiapa selain Umno-Barisan Nasional (BN). Itu antara ciri-ciri sistem pertahanan ciptaan Dr M yang sedang melindungi Najib.
Siapa yang sedang menguatkan pertahanan ini kalau bukan daripada kalangan pembangkang sendiri?
Tahniah atas kejayaan Bersih 4 dan kehadiran Dr M, tapi malangnya ia langsung tidak dapat menggugat sistem pertahanan ciptaan Dr M sendiri.
Malaysia terus berada di persimpangan di hari lahirnya ke-58. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan