Jamal
SHAH ALAM – “Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak berniat untuk memberi ancaman atau ketakutan kepada orang awam seperti yang dilaporkan dan disensasikan oleh media terutama media alternatif,” demikian ujar Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos.
Jamal berkata demikian ketika menyanggah laporan media yang mendakwa dia tidak menolak kemungkinan berlaku rusuhan di Jalan Petaling esok.
“Saya hanya ingin menyatakan kegusaran saya sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil oleh pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ke atas aduan dan ketidakpuasan hati kumpulan yang berhimpun di Jalan Petaling pada 16 September lepas.
“Pada 16 September lepas, saya telah diminta oleh pihak polis untuk membantu menyuraikan sekumpulan peserta yang berhimpun di kawasan Jalan Petaling. Ketika proses penyuraian dan perbincangan tersebut, saya telah menjadi orang tengah di mana pihak yang berhimpun tersebut telah menyatakan tiga tuntutan untuk diambil perhatian oleh pihak berkuasa terutamanya KPDNKK,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jamal dilaporkan meramal kemungkinan berlakunya rusuhan pada himpunan di Jalan Petaling petang esok.
Jamal didakwa sebagai berkata, rusuhan tersebut mungkin berlaku sekiranya tidak ada sebarang tindakan dari kerajaan ke atas peniaga-peniaga di Jalan Petaling yang menjual barangan tiruan.
“Saya sedikit kecewa dengan laporan-laporan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh media terutama media alternatif berkenaan kenyataan saya ketika sidang media di IPD Ampang Jaya pada 23 September lepas.
“Tujuan sidang media tersebut adalah untuk memberi penjelasan dan penafian tentang fitnah-fitnah yang dilemparkan ke atas diri saya serta untuk memberitahu kepada umum bahawa saya akan mengambil tegas termasuk tindakan undang-undang ke atas pemfitnah-pemfitnah ini melalui peguam-peguam saya,” katanya lagi.
Menurut Jamal, dia tidak terlibat dengan himpunan tersebut.
“Kenyataan-kenyataan yang dilaporkan dan disensasikan oleh media-media ini tidak menggambarkan secara tepat apa yang saya jelaskan berkenaan kemungkinan berlaku himpunan pada esok.
“Mereka hanya menyiarkan bahagian-bahagian tertentu tanpa mengambil kira secara keseluruhan apa yang saya telah nyatakan dalam sidang media tersebut. Perkara ini boleh menyebabkan kekeliruan dikalangan pembaca dan boleh disalah tafsirkan oleh umum,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan