shahbudindotcom
Desakan
agar Najib Razak berundur bukan lagi jeritan rakyat Malaysia
semata-mata, tetapi sudah menjadi suara antarabangsa di mana dalam
persidangan anti rasuah sedunia atau IACC di Kuala Lumpur baru-baru
ini, perkara yang sama turut menjadi fokus utama para peserta.
Hakikatnya
tidak ada sesiapa dapat menerima kemasukan wang ke dalam akaun peribadi
seorang ketua negara dengan jumlah yang begitu besar hanyalah sekadar
derma. Selain menyatakan wang RM2,600 juta itu mempunyai segala elemen
berkaitan rasuah mengikut penilaian antarabangsa, peserta IACC juga
mendesak Najib meletakkan jawatan bagi memudahkan siasatan terhadapnya.
Hanya
kerana Najib menerima wang tersebut, rata-rata peserta IACC bercakap,
meluahkan rasa tidak puas dan memberi kritikan tajam kepadanya.
Sekaligus perbuatan Najib telah memalukan nama negara ke persada dunia
dan ia dilakukan di depan mata kita semua.
Dengan
ini rakyat negara ini dan masyarakat di seluruh dunia sudah hampir
senada tentang perlunya Najib segera berundur daripada jawatannya.
Jika
dilakukan referendum bebas, pastinya suara penolakan itu lebih ketara
lagi. Kehadiran kira-kira 500 ribu peserta dalam himpunan Bersih 4
adalah petanda jelas ke arah itu dan tidak pernah dalam sejarah negara,
rakyat sanggup berhimpun dan bermalam di atas jalanraya hanya untuk
meluahkan rasa tidak puas hati mereka.
Dengan
terus kekalnya Najib bersama jawatannya dan sekiranya tiada penjelasan
meyakinkan mengenai wang tersebut, tidak mustahil angka 500 ribu itu
akan terus meningkat kiranya ada perhimpunan rakyat lagi selepas ini.
Tetapi
seperti biasa, kebangkitan rakyat ini seringkali dilihat dari
perspektif perkauman saja. Jika ramai Melayu datang berdemo, mereka
dikatakan bodoh dan tidak secerdik kaum Cina yang hanya duduk di rumah
sambil terus membesarkan penguasaan ekenomi mereka.
Jika
orang Cina yang ramai pula seperti dalam Bersih 4 baru-baru ini, mereka
dikatakan mahu merampas kepimpinan Melayu yang sedang menguasai
kepimpinan negara pula. Orang Melayu lantas diingatkan agar segera
bersatu bersama kepimpinan sedia ada sambil diberikan amaran bahawa
kebangkitan bangsa lain ini adalah bahaya kepada anak cucu kita.
Ada
seorang menteri juga turut latah mengingatkan dengan berkata,
terus-menerus membesarkan isu wang RM2,600 juta yang melibatkan Najib
tidak lebih hanya mengancam kedudukan kerajaan dan kepimpinan Melayu
sekarang.
Oleh
itu, beliau menyarankan agar polemik ini segera dihentikan, sebaliknya
berusaha mempertahankan kepimpinan Melayu yang ada sekarang.
Elehh...macamlah Najib merupakan lambang mutlak Melayu di negara ini.
Ia
seperti kisah seorang perompak yang sedang mengangkut hasil rompakan
dan ketika diserbu oleh orangramai, lantas memberi helah bahawa kampung
tempat tinggal mereka sedang dalam bahaya kerana kononnya lima enam
keluarga Cina yang tinggal di situ sedang berusaha mengambil alih dan
menguasai kampung tersebut.
Setelah
semua orangramai tadi menyerbu setiap satu rumah keluarga Cina itu,
perompak pun ketawa berdekah-dekah sambil memuatkan lebih banyak hasil
rompakan ke dalam lori mereka.
Begitu
juga seperti yang berlaku sekarang. Ia tiada kena mengena dengan
sebarang isu perkauman atau kemungkinan orang Cina mahu menguasai
kepimpinan negara, tetapi persoalan pokok ialah dari mana datangnya wang
RM2,600 juta itu?
Namun,
seperti biasa, manusia memang mudah diperdaya oleh perompak,
lebih-lebih lagi kalau perompak itu juga pandai berlagak sebagai pejuang
Melayu.
Dalam
isu mahu menurunkan Najib sekarang, ia sebenarnya adalah untuk
kepentingan rakyat dan negara. Ia tidak harus dilihat dari sudut
jatuhnya kepimpinan Melayu kerana jika Melayu itu jahat dan merosakkan
kehidupan ramai orang, tiada sebab untuk terus dipertahankan.
Di
samping itu, bagaimana mahu dikatakan jika Najib diturunkan, kepimpinan
Cina akan mengambil alihnya sedangkan nama-nama yang disebut sebagai
penggganti semuanya Melayu?
Tun
Mahathir sendiri dalam gesaannya yang semakin agresif untuk menurunkan
Najib berkata, yang perlu ditukar hanyalah Perdana Menteri tetapi
kerajaan BN akan terus kekal.
Begitu
juga dengan kesediaan Pakatan Rakyat bersama-sama dengan kira-kira 30
lagi Ahli Parlimen BN untuk menjayakan usul tidak percaya di Parlimen,
ia juga semata-mata untuk menurunkan Najib dengan membentuk sebuah
kerajaan peralihan yang melibatkan semua parti.
Jika
sudah melibatkan semua parti, tentu saja UMNO yang mempunyai 88 kerusi
Parlimen akan memiliki majoritinya. Jadi di mana perlunya kita kalut
dengan penguasaan Cina ini?
Nama-nama
yang disebut dan diperkatakan ramai untuk menggantikan Najib pula
semuanya Melayu. Pakatan Rakyat jelas sedia menerima Tengku Razaleigh
Hamzah atau Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang baru bagi
menggantikan Najib. Adakah Ku Li dan Muhyiddin keturunan Cina?
Jika prosesnya berlaku selepas 9 September di
mana ketika itu Muhyiddin mungkin sudah dipecat atau digantung keahlian
UMNOnya, nama Zahid Hamidi juga berpeluang tersenarai sebagai calon
bakal Perdana Menteri. Adakah Zahid berbangsa Cina atau Jawa?
Pernahkah
kita dengar jika usul tidak percaya di Parlimen ini berjaya, Lim Kit
Siang atau Lim Guan Eng yang akan menjadi Perdana Menteri baru bagi
menggantikan Najib?
Janganlah
kita mengelabah berlebih-lebihan sehingga semua perkara mahu dikaitkan
dengan sentimen perkauman. Jika ada kecurian atau rompakan, tangkaplah
perompak terlebih dahulu sebelum risaukan kampung halaman daripada
ditakluki bangsa lain.
Orang
Cina pun sebenarnya sedar kedudukan mereka sebagai minoriti dan tidak
mungkin menjadi Perdana Menteri bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan.
Bukan saja calon Perdana Menteri BN terdiri daripada Melayu, daripada
Pakatan Rakyat juga calonnya Melayu.
Lagi
pula dalam pilihanraya umum lalu, DAP hanya bertanding kira-kira 70
kerusi Parlimen saja daripada 222 kerusi keseluruhannya dan jumlah ini
tentu saja tidak banyak berbeza dalam pilihanraya akan datang.
Maka,
di mana logiknya calon mereka layak menjadi Perdana Menteri? Apakah
pemimpin Melayu daripada PKR, Pas dan GHB ( Amanah) tidak mahu jadi
Perdana Menteri?
Sama
ada melalui usul tidak percaya atau sekiranya BN kalah dalam
pilihanraya ke 14 nanti lantaran kedegilan Najib tidak mahu berundur,
janganlah bimbang dengan penguasaan Cina kerana kuasa dan kepimpinan
Melayu tidak hilang sama sekali.
Kalau
tak pernah jumpa hantu, tidak perlu takut dengan hantu dan janganlah
pandai-pandai menakutkan orang lain pula supaya takut sama dengan
hantu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan