AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
Rosli sedih melihat rakannya meninggalkan parti Islam itu, tetapi beliau gembira untuk kekal di dalam PAS. - Foto YouTube
KUALA LUMPUR, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar yakin parti Islam itu adalah bahtera yang boleh membawa ahli-ahlinya ke destinasi terakhir, kerana PAS istiqamah menentang kezaliman dan sepakat bahawa Islam itu ‘Rahmatan lil Alamin’.
“Jika kalian kata PAS lemah kerana
dipimpin manusia lemah, kalian pergilah kepada manusia yang tiada
kelemahan, kerana perjuangan itu dakwah berterusan, sama ada menang atau
kalah dalam pilihan raya.
“Kerana itu, saya kekal dengan PAS yang
tegar dengan dasar Islam dan hasratnya. Tiada jalan pintas, melainkan
kita mesti melalui jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah S.A.W.
“Kalau kalian tidak berjumpa apa yang dihajati, kembalilah kerana pintu PAS sentiasa terbuka luas untuk dimasuki.
“Islam itu sentiasa tegas dengan
kelembutan. Pesan saya yang lemah untuk abang-abang dan adik-adik saya
yang telah melangkah meninggalkan PAS, pastikan yang baru itu lebih baik
dari yang lama,” katanya yang dipetik harakahdaily.net.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung
Lumpur itu berkata, beliau sedih melihat rakannya meninggalkan parti
berkenaan, tetapi beliau gembira untuk kekal di dalam PAS.
“Saya hanya boleh menghantar ke pintu
sahaja, hanya melihat mereka melangkah. Tidak munasabah saya tinggalkan
PAS yang telah puluhan tahun saya berada di dalamnya, kerana semuanya
ada di sini. Rasanya tiada sesuatu pun yang tidak ada di dalam PAS.
“PAS ada semuanya yang saya idamkan dan
perlukan dalam kehidupan saya sebagai seorang Muslim. Semuanya mencukupi
dan saya sangat tenang dan gembira berada di dalamnya.
“PAS telah mengajar kalian bahawa kita
berjuang untuk runtuhkan kezaliman dan gantikan dengan keadilan, bukan
digantikan dengan sesuatu yang hampir sama. Tiadalah keadilan, melainkan
sesuatu yang diturunkan Allah S.W.T yang pasti akan membela seluruh
rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan